SHAH ALAM – Kenyataan calon PKR Mohd. Zawawi Ahmad Mughni yang mahu menghapuskan kronisme dan amalan nepotisme jika menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis hanya diibaratkan sebagai tidak berpijak di bumi nyata.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam berkata, Mohd. Zawawi sepatutnya sedar dengan perkembangan yang berlaku dalam Pakatan Harapan termasuk isu pelantikan Ahli Lembaga Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) baharu yang menamakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi.

“Pakatan Harapan yang amalkan kronisme dan nepotisme.Tengoklah apa yang berlaku sekarang termasuk beberapa nama dalam Kabinet.

“Itu belum lagi nama-nama dalam syarikat milik kerajaan (GLC) di mana banyak nama yang dikaitkan dengan Dr. Mahathir. Jadi siapa yang sebenar amal kronisme. Mohd. Zawawi perlu sedar apabila membuat kenyataan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat UMNO Bahagian Kota Raja di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mohd. Zawawi sebelum ini yang dikatakan mahu menghapuskan amalan kronisme dan nepotisme jika menang dalam PRK Sungai Kandis. UTUSAN ONLINE

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here