KUALA LUMPUR – Provokasi perkauman dan jenayah ekstremis terancang akan bermaharajalela sekiranya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dimansuhkan.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, SOSMA adalah satu akta yang adil dan mengikut undang-undang negara.­

“SOSMA hanya boleh menahan seseorang selama 28 hari sahaja sebelum dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan dan jika didapati tidak bersalah, tahanan boleh dilepaskan.

“Sebelum ini kita sudah mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kali ini SOSMA pula ingin dimansuhkan. Undang-undang lembut macam mana lagi yang kita mahu laksana­kan?” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan memansuhkan SOSMA yang dilihat tidak telus bagi memberi keadilan kepada semua rakyat.

Jelas Dr. Mahathir, rakyat berhak untuk dilindungi oleh undang-undang yang adil dan bukannya bersifat zalim kepada rakyat seperti dilaksanakan kerajaan terdahulu.

Menurut Musa, mereka yang ditahan di bawah SOSMA me­lakukan jenayah yang besar se­perti penyeludupan manusia dan aktiviti keganasan jenayah terancang.

“Sekarang ini semakin ramai­ anggota kumpulan militan Daesh ditangkap dan itu adalah ancaman serta disiasat di bawah SOSMA. Sebab itu kena ada undang-undang yang tegas demi keamanan negara,” jelasnya.

Ujar beliau, perlu ada sebab khusus mengapa akta itu hendak dimansuhkan kerana tahanan diberi peluang untuk dibicarakan di mahkamah dan perkara itu adalah adil buat mereka.

Menurut beliau, negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat juga memiliki undang-undang jauh lebih keras seperti Akta Patriot yang membolehkan seseorang itu ditahan di mana-mana sahaja di seluruh dunia. UtusanOnline

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here