SHAH ALAM: Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan Tabung Harapan terbukti satu pengkhianatan kepada rakyat, kata Presiden Empirical Malaysia, Anina Saadudin.

Ujarnya selepas mencetuskan rasa panik sehingga mendorong rakyat untuk turut sama menderma bagi membayar balik hutang negara yang kononnya mencecah RM1 trilion, mereka disajikan dengan berita ‘hutang Malaysia terkawal’.

“Kerajaan PH dengan sengaja melonggokkan segalanya di dalam satu bakul bagi menampakkan seolah-olah Malaysia dibebani hutang hingga bankrap.

“Apa yang membuatkan saya sangat kecewa adalah, pelancaran Tabung Harapan yang sengaja dibuat bagi menimbulkan persepsi buruk terhadap BN,” katanya menerusi aplikasi whatsApp kepada Selangorpost.

Semalam, Ketua Ekonomi Bank Dunia (Malaysia), Dr Richard Record memaklumkan hutang Malaysia masih terkawal dan tidak akan menjerumuskannya ke dalam krisis selain tergolong dalam kategori ‘risiko rendah’.

“Hampir 70 peratus daripada hutang berkenaan juga adalah hutang jangka sederhana dengan tempoh matang melepasi tiga tahun, sekali gus menyediakan risiko terhad daripada aspek terma pulang ganti,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran laporan Pemantau Ekonomi Malaysia (MEM): Menavigasi Perubahan ke-18, yang dirasmikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengulas lanjut, Anina berkata beliau tetap berpegang teguh kepada analisis oleh Moody’s International yang meletakkan jumlah hutang negara adalah RM686.8 billion dan bukannya RM1 trillion.

“Komitmen jaminan kerajaan berjumlah RM199.1 bilion dan komitmen bayaran pajakan bagi projek awam-swasta sebanyak RM201.4 billion bukanlah satu angka yang sepatutnya masukkan dalam pengiraan jumlah hutang negara.

“Ini bukan amalan biasa. Sebagai contoh, jika anda menjamin pinjaman kereta saudara anda bernilai RM200,000, ianya tidak patut dianggap sebagai hutang anda juga melainkan pihak mahkamah memutuskan anda perlu bayar hutang tersebut kerana saudara anda gagal membayar hutang keretanya,” jelas Anina.

Kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berbangga mengumumkan kutipan Tabung Harapan kini mencecah RM132 juta.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here