SHAH ALAM: Walaupun memenangi jumlah kerusi terbanyak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PKR dan DAP hanya diperuntukkan 50 peratus sahaja jawatan kabinet.

Sebuah portal membuat analisa dan mendakwa gabungan kemenangan PKR dan DAP pada PRU Mei lalu adalah 73.6 peratus.

Menurut portal mesra kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu, PPBM dan Amanah paling tinggi peratusan wakil dalam kedudukan menteri dan timbalan menteri, pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

PPBM mempunyai 13 anggota parlimen manakala Amanah sebelas, dan 12 dan 10 daripadanya menjadi menteri atau timbalan menteri.

Bagi Warisan, lima daripada lapan orang anggota parlimennya dilantik sama ada sebagai menteri atau timbalan menteri.

Sementara itu, umur purata anggota kabinet ialah 55.74 tahun manakala umur median (pertengahan antara yang paling tua dan yang paling muda) adalah 57 tahun.

Dr Mahathir ialah menteri yang tertua pada usia 93 tahun, manakala Menteri Belia dan Sukan Syed Saddique Syed Abdul Rahman menjadi yang termuda dengan usia 26 tahun.

Anggota parlimen dari Malaysia Timur mewakili tujuh daripada keseluruhan jumlah jemaah menteri dan timbalan menteri, berkurangan daripada 17 dalam pentadbiran lalu.

Daripada segi perwakilan wanita, kaum hawa membentuk 21.43 peratus anggota kabinet. Hanya 16.53 peratus anggota parlimen adalah wanita.

Secara keseluruhannya, PKR menyumbangkan anggota parlimen wanita paling ramai (21.28 peratus) diikuti dengan DAP (19.05 peratus).

Amanah merupakan satu-satunya parti kerajaan tanpa anggota parlimen wanita.

Analisa itu mendapat reaksi pelbagai pembaca di portal tersebut. Tentunya ramai yang menyokong. Namun ada juga yang menegur pertimbangan Dr Mahathir melantik senarai kabinetnya.

“Pejuang di dalam PKR telah berjuang hampir 20 tahun untuk menegakkan kebenaran begitu jugak DAP. Mereka dibelasah fizikal dan mental, dipenjara, dibuang kerja, malah ada yang bercerai-berai suami isteri.

“Malah ada yang nak membeli makanan dan pakaian pun tak mampu, hak mereka sebagai rakyat dinafikan tetapi mereka tetap kental sebagai pejuang semata-mata mahu kembalikan negara yang dicintai ini dilandasan yang betul, nasib rakyat terbela tanpa mengira bangsa dan agama.

“Tetapi pejuangan mereka tidak dihargai. Mereka yang tak sampai setahun jagung dilantik menjadi pemimpin kepada pejuang ini juga rakyat marhaen,” tulis pembaca yang meninggalkan komen di portal tersebut.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here