SHAH ALAM: Pemimpin DAP menyatakan kekecewaannya apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak senarai nama yang dicadangkan partinya, untuk dilantik menjadi menteri.

Ketua Pemuda DAP, Wong Kah Woh berkata partinya menghantar nama Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen untuk diangkat menyertai senarai kabinet yang baharu.

Namun, nama Nga terus ditolak sementara Chong sekadar dilantik menjadi timbalan menteri.

Wong berkata Nga dan Chong merupakan pemimpin berbakat dengan pengalaman yang banyak.

“Kini cadangan yang dikemukakan oleh DAP telah diketepikan, sekiranya Setiausaha Agung DAP juga ditolak pelantikannya atas mana-mana sebab pada satu hari nanti, adakah DAP tetap akan dipaksa menerima keputusan sebegini?” Soal Wong dalam suatu kenyataan.

“Tindakan Perdana Menteri adalah tidak berpatutan lantaran pengaturan senarai kabinet tersebut tidak mengikuti bilangan kerusi yang dimenangi oleh sesebuah parti untuk mengilustrasikan hasrat rakyat…

“…malah keputusan sedemikian juga tidak menghormati cadangan pimpinan parti seperjuangan,” katanya.

Semalam, seramai 13 lagi menteri Kabinet dan 23 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara.

Terdahulu, 13 menteri sudah mengangkat sumpah pada 21 Mei lepas.

Wong dalam pada itu mendakwa barisan kabinet tidak mencerminkan jumlah kerusi yang dimenangi DAP yang memenangi jumlah kerusi parlimen kedua terbanyak selepas PKR.

Beliau juga mendakwa DAP tahu kemampuan calon-calonnya dengan lebih baik berbanding Dr Mahathir.

“DAPSY ingin menegaskan bahawa pandangan terhadap senarai kabinet yang diumumkan YAB Perdana Menteri bukan berniat untuk merebut mana-mana jawatan menteri tetapi adalah untuk menghormati hasrat rakyat serta mempertahankan maruah parti demi memastikan tidak wujudnya sistem cacat bahawa sesebuah parti terlalu berkuasa dalam Pakatan Harapan,” katanya yang menegaskan keputusan patut dibuat secara persetujuan bersama.

“… dan Perdana Menteri harus menghormati pilihan komponen parti dalam Pakatan HARAPAN supaya ia dapat membentuk sebuah kabinet yang sempurna,” kata Wong.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here