SHAH ALAM – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dijangka mempunyai Ketua Pembangkang pada penggal ini selepas Barisan Nasional (BN) negeri dipercayai akan melantik seorang wakil rakyatnya ke jawatan itu yang kosong sejak Disember 2014.

Menurut Anggota Dewan Undangan (ADUN) Sungai Tawar Rizam Ismail, beliau dimaklumkan perkara tersebut oleh pucuk pimpinan BN Selangor yang menamakan beliau sebagai antara calon yang akan dilantik ke jawatan berkenaan.

“Setakat ini belum ada keputusan rasmi,” katanya kepada pemberita selepas majlis Mengangkat Sumpah Jawatan ADUN pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN ke-14 di sini, hari ini.

BN Selangor yang menjadi pembangkang sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 tidak mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Mohd Shamsudin Lias selepas ADUN Sungai Burong itu meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan komposisi anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Selangor.

Mengulas lanjut, Rizam berkata sekiranya dilantik ke jawatan itu, beliau akan memastikan kesemua wakil rakyat BN menjadi pembangkang yang berwibawa dengan memainkan peranan semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan. BERNAMA

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here