SHAH ALAM – Pemimpin DAP ibarat ‘kaduk naik junjung’ selepas mendapat kuasa pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14).

Itu reaksi sinis Pengerusi Perhubungan Umno Johor Datuk Seri Khaled Nordin bersabit isu Lim Guan Eng menggunakan bahasa Mandarin untuk mengeluarkan satu kenyataan rasmi kementeriannya – Kementerian Kewangan.

Khaled berkata beliau begitu terkilan dengan tindakan itu berkata ia sangat biadap, menghina dan merendah-rendahkan kedudukan bahasa Melayu.

“Kerajaan seharusnya lebih peka, sensitif dan berhati-hati dalam perkara ini. Jangan sampai kerajaan hari ini dilihat oleh rakyat sebagai ‘kaduk naik junjung’.

“Baru sahaja mendapat kuasa, tindakan dan amalannya sudah jauh melampau dan melebih-lebih sehingga tidak menghormati perkara-perkara asas,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata tindakan itu jelas tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan amalan pentadbiran negara ini yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

“Lebih teruk, beliau (Lim) sendiri yang sebelum ini, semasa dipertikaikan pelantikannya sebagai menteri kewangan, dengan lantang mengatakan ‘I am not Chinese, I am Malaysian’.

“Namun, hari ini, selepas memegang jawatan dan menjalankan tugas rasmi kerajaan, beliau dengan mudahnya melupakan pendirian dan dakwaan tersebut.”

Beliau juga berkata tindakan itu sebagai satu tragedi yang amat menyedihkan kerana belum sampai 100 hari negara bertukar kerajaan, bahasa Melayu sudah ditunjukkan sebagai tidak bernilai dan diabaikan pegawai tinggi kerajaan.

Lim sebelum ini mempertahankan penggunaan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi kementerian beliau selepas didakwa tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Setiausaha agung DAP itu berkata, penggunaan bahasa berkenaan melambangkan pengiktirafan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap aspek kepelbagaian bahasa dan globalisasi.

“Menurut Perlembagaan Persekutuan, tiada mana-mana orang boleh dihalang daripada bertutur, mengajar atau belajar bahasa lain. Atas semangat perlembagaan, apa salahnya mengeluarkan kenyataan media yang diterjemahkan ke dalam bahasa Cina dan bahasa lain?”, soalnya.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here