Perasaan kesal dan insaf bahawa hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi pembelaan kepada penjawat awam selama ini hanya dirasai selepas ‘perkara itu tiada’.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata, begitulah nasib 17,000 kakitangan penjawat awam bertaraf kontrak yang ditamatkan perkhidmatan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas menang 9 Mei lalu.

Katanya, nasib kakitangan terbabit mungkin lebih baik sekiranya BN memenangi PRU 14.

“Kumpulan berkenaan mungkin masih bekerja dan dapat mencari rezeki untuk menyara keluarga seperti sebelum PRU14 berbanding sekarang apabila mereka hilang ditamatkan mata pencarian.

“Apakan daya mungkin mereka tertipu atau membuat satu pertimbangan berdasarkan kepada hasutan atau kempen kebencian tanpa melihat kepada kebaikan BN, kebaikan kita tidak nampak semasa itu, hanya sedar bila sudah tiada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada 100 asnaf di Masjid Kampung Polo di Pekan, hari ini.

Pada majlis itu Najib turut menceritakan kisah seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang menyatakan dirinya adalah pengundi PH pada PRU14 kerana sering dimomokkan sejak anaknya lahir bahawa GST adalah punca kenaikan harga barang.

“Mana dia pergi pun peniaga kata GST menyebabkan harga naik, dia tidak sebut pun sebagai seorang guru KAFA dia mendapat pembelaan daripada kerajaan.

“Selepas 9 Mei dia mendapat penamatan sebagai guru KAFA pada awal Ramadan, bila tengok dua anak kecilnya…air matanya menitis kerana terbayang apa bakal terjadi kepada anaknya itu dan menampung perbelanjaan.

“Timbul kesedaran bahawa BN yang memberi pembelaan kepada guru KAFA, BN tidak tergamak memberhentikan 3,000 guru KAFA yang termasuk 17,000 kakitangan kontrak kerajaan namanya ada dan saya hendak berhubung dengannya kerana dia menyesal mengundi pakatan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan turut berterima kasih kepada pengundi di Parlimen Pekan kerana memberi mandat dan memenangi kerusi itu dengan majoriti tertinggi di Malaysia bagi BN. BNBBC

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here