KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya mengakui projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura akan memberi manfaat kepada negara.

Bagaimanapun, projek itu tidak boleh dilaksanakan sekarang berikutan negara dikatakan ‘tidak mampu’ membangunkannya buat masa ini.

Justeru projek itu tidak dibatalkan namun ditangguhkan – bertentangan dengan pendirian keras sebelum ini untuk membatalkan perjanjian itu.

“Akan ada keperluan untuk kereta api berkelajuan tinggi di masa depan, mungkin melalui Semenanjung. Tetapi kita tidak mampu buat masa ini,” katanya.

“Jadi, kita sebenarnya menangguhkan pelaksanaan projek itu,” katanya ketika temu ramah dengan Nikkei Asian Review Jepun.

Dr Mahathir mengakui kereta api berkelajuan tinggi berguna pada masa akan datang.

“Kereta api berkelajuan tinggi paling efektif sekiranya jaraknya jauh. Tetapi bagi jarak yang pendek, ia tidak memberi pulangan yang banyak,” kata Dr Mahathir.

“Jadi kita perlu memikirkan semula kereta api berkelajuan tinggi. Kita tidak boleh mengatakan kita tidak akan mempunyai kereta api berkelajuan tinggi di Malaysia. Apa yang boleh kita lakukan ialah menangguhkan projek itu kerana ia terlalu mahal buat masa ini,” katanya.

Komen Dr Mahathir itu adalah yang pertama selepas pendirian agak keras pentadbirannya sebelum ini untuk membatalkan sepenuhnya projek itu, satu tindakan yang boleh menyebabkan sejumlah penalti besar sekiranya ia dibatalkan.

Kementerian Pengangkutan Singapura mengeluarkan satu kenyataan yang mengatakan belum menerima pemberitahuan rasmi dari Putrajaya, berikutan pengumuman Dr Mahathir mengenai rancangan untuk membatalkan projek HSR bulan lepas.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here