TANJONG KARANG: Tan Sri Noh Omar mahu terus menyumbang kepada pimpinan pusat UMNO, justeru beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) parti.

Noh berkata beliau akan melepaskan jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor susulan kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mei lepas.

“Saya hanya menawarkan diri untuk bertanding Ahli Majlis Tertinggi sahaja kerana janji sebelum ini, jika Selangor kalah teruk, saya akan lepaskan jawatan sebagai Pengerusi BN Selangor,” katanya.

Bagaimanapun hasratnya untuk melepaskan jawatan itu belum dipersetujui Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Tapi Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta kesemua pengerusi BN termasuk saya menunggu sehingga selesai mesyuarat pemilihan peringkat bahagian,” katanya.

Menurut Noh, beliau hanya menawarkan diri untuk jawatan MT UMNO sahaja dan tidak bagi mana-mana jawatan lain sebagai ‘mengambil tanggungjawab’ atas kekalahan parti.

Noh sebelum ini berkata UMNO Selangor tidak patah semangat malah meneruskan usaha berkhidmat seperti biasa kepada rakyat negeri itu.

Untuk rekod, UMNO akan mengadakan pemilihan jawatan tiga sayapnya pada 23 Jun manakala pemilihan peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi pada 30 Jun, serentak di seluruh 191 bahagian Umno di seluruh negara.

Ini adalah kali kedua Umno mengadakan pemilihan langsung selepas pindaan perlembagaan parti pada 2009. Pemilihan sebelum ini adalah pada Oktober 2013.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here