KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri Najib Razak berkata beliau yakin mahkamah akan mendapati beliau tidak bersalah dan pertuduhan ke atasnya juga dibuat bagi tujuan politik.

Najib berkata demikian hari ini bagi menjawab kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa usaha untuk menuduh beliau di mahkamah bukan perkara mudah.

“Tun Mahathir kini berkata, tanpa bukti kukuh, menahan atau mendakwa saya di mahkamah adalah tidak mudah.

“Beliau turut berkata bukti tidak kukuh dan jika saya didapati tidak bersalah oleh mahkamah, maka segala tuduhan yang dilempar dan tindakan oleh Pakatan Harapan selama ini akan dipersoalkan oleh rakyat.

“Dengan berkata demikian, Tun Mahathir telah mengaku PH membuat segala tuduhan itu terhadap saya tanpa bukti kukuh,” kata Najib dalam satu kenyataan di Facebook.

Najib mengulas kenyataan Dr Mahathir pada malam tadi bahawa tindakan kerajaan akan dipersoalkan jika bekas perdana menteri itu didapati tidak bersalah oleh mahkamah.

Dr Mahathir menjelaskan, kerajaan perlu mendapatkan bukti yang kukuh sebelum mengambil tindakan.

Mengulas lanjut, Najib berkata kenyataan Dr Mahathir itu turut membuktikan bahawa terdapat konspirasi dalam kerajaan untuk menjatuhkannya.

Ini memandangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tidak pernah mengambil kenyataannya sebelum ini, kata Najib.

“Ia juga membuktikan kertas pertuduhan yang didakwa sudah disediakan untuk mendakwa saya pada 2015 adalah tidak benar dan sebahagian dari konspirasi menggunakan individu tertentu di dalam pentadbiran kerajaan untuk menggulingkan saya.

“Pada ketika itu, kenyataan saya tidak pernah diambil oleh SPRM, justeru bagaimana pula ada kertas pertuduhan?” soalnya.

Siasatan itu terkandas apabila peguam negara pada waktu itu, Abdul Gani Patail dipecat dan jawatankuasa siasatan dibubarkan pada 2015.

Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang bertanggungjawab menyiasat kes tersebut, Mohd Shukri Abdull juga ditekan untuk bersara pada 2015.

Beliau bagaimanapun dilantik mengetuai SPRM selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada bulan lalu.

Susulan itu, SPRM memanggil Najib dan isteri, Rosmah Mansor untuk diambil keterangan.

Mohd Shukri Abdull pada bulan lalu turut mendedahkan, terdapat usaha untuk menghentikan siasatan ke atas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International pada 2015. MalaysiaInsight

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here