TANJONG KARANG – Tan Sri Noh Omar berjanji akan memastikan pemilihan UMNO cawangan Tanjong Karang akan diadakan dalam keadaan baik dan adil.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu berkata pertandingan yang tidak telus hanya akan memburukkan keaadaan parti yang baru sahaja menerima kekalahan pada pilihan raya umum Mei lalu.

Pun begitu, Noh berkata beliau belum lagi menerima maklumat mengenai jawtan-jawatan yang akan dipertandingkan UMNO cawangan itu.

“Di Tanjong Karang saya tak dapat lagi maklumat mengenai jawatan yang akan dipertandingkan.

“Kita nak pastikan suasana baik dan adil (semasa pertandingan). Jangan sampai ahli UMNO lari dari kita sebab kita sibuk merebut jawatan, pinggirkan ahli tertentu sebab nak beri keutamaan kepada ahli-ahli yang sokong kita sahaja.

“Kalau itu budaya yang kita bawa ia akan lemahkan lagi UMNO,” katanya kepada Selangor Post.

Noh sebelum ini memberitahu, setakat ini lebih 50 peratus UMNO cawangan di seluruh Selangor sudahpun mengadakan mesyuarat bahagian masing-masing menjelang pemilihan parti Jun ini.

Majlis Tertinggi UMNO telah menetapkan tarikh persidangan tahunan Cawangan UMNO dan Pergerakan Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO dimulakan pada 19 Mei 2018 (Sabtu) sehingga 10 Jun (Ahad) 2018.

Mesyuarat UMNO di peringkat bahagian pula ditetapkan pada 30 Jun 2018 (Sabtu) dan kesemua persidangan ini dijalankan secara serentak dengan pemilihan parti di semua peringkat.

Noh terdahulu menjayakan program pemberian duit raya, telekung dan kain pelikat kepada penduduk Tanjong Karang.

Noh kemudiannya berkata, suasana sambutan perayaan hari raya di Tanjong Karang kali ini berlainan berikutan beliau kini adalah ahli Parlimen pembangkang yang mempunyai peruntukan yang agak terhad.

Pun begitu, beliau berjanji akan menggunakan segala sumber yang ada untuk berkhidmat kepada penduduk Parlimen itu.

“Saya akan teruskan program-program sebegini di Tanjong Karang walaupun kita kini pembangkang.

“InsyaAllah saya akan berusaha dan gunakan elaun saya sebgai ahli Parlimen untuk uruskan rakyat di Tanjong Karang,” katanya komited.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here