SUNGAI BESAR: Petani Sekinchan memohon agar kadar potongan kotor dan lembap padi (Pemutuan) dikurangkan kepada 17 peratus berbanding 20 peratus ketika ini.

Penyandang kerusi Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi, berkata beliau menyuarakan perkara itu setelah mendengar rungutan daripada petani-petani kawasan itu.

Malah, perbincangan juga sudah diadakan bagi mencari jalan berhubung perkara itu dan mereka bersetuju dengan kadar 17 peratus.

“Menzahirkan keresahan para petani berhubung pemutuan potongan sebanyak 20 peratus, apabila keadaan ini berlaku apatah lagi kebelakangan ini berlakunya penyakit hawar daun, apabila pemutuan diletakkan sebanyak 20 peratus membebankan para petani.

“Dan para petani merasakan pemutuan 20 peratus adalah terlalu tinggi, ini berikutan kebelakangan soal hawar daun dan menjejaskan pendapatan mereka.

“Semua petani dalam kawasan ini bersetuju dan mencadangkan supaya potongan pemutuan ini dihadkan pada kadar 17 peratus, kerana Sekinchan ini adalah hasil padinya terbaik seluruh negara,” katanya di sini, hari ini.

Oleh itu Budiman berharap agar pihak berwajib ataupun kementerian berkenaan dapat mempertimbangkan permohonan itu dan menetapkannnya pada kadar sedemikian.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here