KAJANG – Datuk Seri Najib Razak menyifatkan ‘langkah Kajang’ yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) berjaya jika dibandingkan dengan apa dilakukan pembangkang.

Perdana Menteri berkata, dua langkah Kajang yang berbeza, pertama yang dilakukan pembangkang pada 2014 tetapi tidak sampai matlamatnya.

Berbanding BN dengan projek Transit Aliran Massa (MRT) dan kali ini projek naik taraf Hospital Kajang.

“Inilah langkah Kajang sebenar yang kita buat, memberi manfaat kepada rakyat, malah naik taraf Hospital Kajang menjadi kenyataan,” katanya.

Mengulas mengenai projek naik taraf Hospital Kajang, Perdana Menteri berkata, projek bernilai RM304.5 juta itu membabitkan pembinaan Kompleks Wanita dan Kanak-kanak yang dijangka siap pada tahun 2021.

“Pada 8 September 2015, saya melakukan lawatan mengejut ke Hospital Kajang tanpa memberitahu menteri berkaitan untuk melihat sendiri keadaan sebenar.

“Tiba-tiba saya tercegat di depan (hospital) dan dapat melihat keadaan sebenarnya yang dihadapi rakyat. Memang benar Hospital Kajang terlalu sesak dengan pesakit dan keadaan bangunan terlalu uzur, maklumlah ia dibina sejak tahun 1889.

“Dalam ucapan Bajet 2016, saya mengumumkan Hospital Kajang akan dinaik taraf dengan peruntukan lebih RM300 juta.

“Tetapi Noh bisik kepada saya, apa guna ada hospital moden tetapi air terputus,” katanya berucap selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Hospital Kajang (Kompleks Wanita dan Kanak-kanak) di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Kompleks Wanita dan Kanak-kanak Hospital Kajang bakal menempatkan 272 katil, selain 14 bilik bersalin, enam bilik bedah dan kemudahan klinik pakar serta pusat harian.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here