SHAH ALAM – ADUN Paya Jaras, Khairuddin Othman memberitahu akan ada akar umbi dan kepimpinan PAS Selangor yang akan mengikut jejaknya keluar parti dan menyertai PKR.

“Saya juga dengar berita-berita itu. Tapi saya tak tahu siapa. Tapi yang saya pasti di peringkat akar umbi, cawangan-cawangan, JKKK sudah mula berhubung dengan saya, nyatakan hasrat mereka untuk bersama-sama dengan parti baru,” dedahnya.

Ketika diminta pengesahan benarkah ada diantara mereka bergelar wakil rakyat, Khairuddin berkata beliau tiada maklumat berkenaan dakwaan itu.

“Saya tak dapat nak meneka (tentang) itu. Cuma saya ada mendengar-dengar jugalah. Itu sahaja. Sekarang ini berada di peringkat desas-desus,” katanya.

Khairuddin semalam mengumumkan keluar daripada PAS dan menyertai PKR berikutan yakin dan percaya dengan kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Khairuddin berkata, beliau terpaksa membuat keputusan sama ada memilih untuk terus bersama PAS atau menukar wadah politik baru iaitu PKR dalam usaha untuk memastikan Selangor tidak jatuh ke tangan Umno Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kali ini.

“Kalau orang itu berasal daripada Selangor dan hidup di Selangor, saya sudah sebut banyak kali, kita mesti kekalkan kerajaan yang sedia ada. Manfaat yang kita dapat banyak kepada semua kawasan yang ada. Cuma sekarang ini adalah sentimen mengekalkan kerajaan.

“Mereka menilai siapakah yang boleh kekalkan kerajaan dan supaya negeri ini tidak di ambil oleh Umno. Jadi saya rasa atas sentimen inilah yang menyebabkan kawan-kawan kita, penyokong kita mula (mahu) bersama kita dalam parti yang baru,” katanya.

Khairuddin kemudiannya berkata buat masa ini tidak timbul isu sama ada beliau terus dinamakan sebagai calon PRU14 untuk mempertahankan kerusi DUN berkenaan.

“Belum ada isu calon, sekarang isu kerusi. Rundingan sekarang ini berlaku (melibatkan) rundingan kerusi bukan rundingan calon.

“Keputusan sama ada menjadi calon atau tidak, ia sebenarnya semua orang tahu ia terserah kepada pucuk pimpinan parti,” katanya.

PAS memutuskan hubungan dengan PKR selepas mendakwa parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu tidak menyokong agenda Islam yang dibawanya.

Namun di Selangor, PAS masih sebahagian daripada kerajaan negeri sehihgga mandat PRU13 selesai.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here