Masa memuktamadkan penstrukturan air sudah mencukupi

KUALA LUMPUR – Kerajaan PKR Selangor mempunyai tempoh tiga bulan sahaja lagi untuk memuktamadkan proses penstrukturan semula industri air bagi menyelesaikan masalah bekalan air yang melanda negeri itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, kerajaan pusat sudah memberikan masa yang cukup panjang untuk mena­ngani sebarang masalah gangguan bekalan air yang timbul terma­suklah pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash).

Katanya, tempoh yang diberikan adalah memadai memandang­kan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) yang dijangka siap pertengahan tahun ini mempunyai keupayaan untuk menampung keperluan penduduk di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 20 peratus.

“Tetapi loji ini tidak boleh dise­rahkan selagi perjanjian antara kerajaan negeri dan syarikat-syarikat air tidak dimukta­madkan. Kerajaan pusat sudah memanjangkan tempoh seba­nyak tiga kali sejak dua tahun lalu dan tempoh itu akan berakhir Julai ini. Jadi, jika tiada sebarang tindakan, perjanjian akan dibatalkan dan Langat 2 akan diambil alih.

“Kapasiti Langat 2 adalah 1,130 mld (juta liter sehari), keperluan air penduduk pula adalah 4,800 mld, tambahan hampir 20 peratus itu membolehkan simpanan air terawat dapat ditingkatkan,” katanya selepas program Sembang Buku bersama pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Muhammad Zainiy Uthman.

Mengulas lanjut, Zaini juga mahu kerajaan Pakatan Harapan diketuai DAP bersikap lebih bertanggungjawab terutamanya apabila melibatkan keperluan asas dan kebajikan rakyat.

“Semua ini berlaku apabila kerajaan negeri melewat-lewatkan proses pembinaan Langat 2 yang sepatutnya siap pada tahun lepas. Langat 2 sudah hampir bersedia tetapi kerajaan negeri masih dalam proses memuktamadkan harga air.

“Syarikat-syarikat air yang dimiliki kerajaan negeri mesti ada keupayaan untuk membayar balik, tidak boleh lepas tangan begitu sahaja. Kata ada wang berbi­lion-bilion ringgit, tapi bila timbul isu ini mengelak tak nak bayar, lepas itu suruh orang lain yang bayar,” katanya. UTUSAN

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here