SHAH ALAM – Masalah bekalan air terputus tidak akan berlaku lagi selepas ini jika Barisan Nasional (BN) mengambil alih Sela­ngor kerana perkara pertama yang akan dilakukan ialah memuktamad­kan proses penstrukturan semula industri air yang ketika ini dijadikan mainan politik oleh kepemimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pemberian air percuma seba­nyak 20 meter padu juga bukan sahaja dikekalkan, malah ditambah baik dengan turut memberikan rebat kepada pengguna yang menggunakan air di bawah 40 meter padu setiap bulan.

Janji itu merupakan perkara paling utama dalam manifesto BN Selangor bertemakan Better Sela­ngor. Yakinlah BN Lebih Baik yang dilancarkan di hadapan lautan biru penyokong BN di Dataran Seksyen 18 di sini.

Tidak terkecuali, Stadium Shah Alam yang kini diswastakan secara senyap-senyap oleh pentadbiran Mohamed Azmin sehingga ada Exconya tergamak menyebut go to hell kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) juga akan dikembalikan kepada pasukan The Red Giants tanpa sebarang syarat.

Selain itu, BN Selangor memberi perhatian khusus kepada aspek perumahan dengan menjanjikan pembinaan lebih 140,000 unit rumah mampu milik kepada rakyat yang sehingga kini gagal ditunaikan Mohamed Azmin selaku Menteri Besar walaupun sudah dua penggal Se­langor ditadbir Pakatan Harapan.

Pengerusi BN negeri, Tan Sri Noh Omar berkata, BN akan membina 50,000 unit rumah kos rendah dan sederhana, 60,000 unit Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), memulihkan semula 29,423 unit rumah terbengkalai serta menyiap­kan sebanyak 6,000 unit rumah transit belia di Rawang dalam tempoh lima tahun.

Menurutnya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) juga akan distrukturkan semula bagi membolehkan badan itu kembali berperanan membina rumah mampu milik, memberi insentif 10 peratus untuk rumah pertama di bawah harga RM200,000 serta mewujudkan badan khusus iaitu Tabung Perumahan Selangor Ehsan.

“Isu air memang dekat di hati saya kerana saya pernah duduk dalam Jawatankuasa Kabinet Mengenai Air. Jadi saya amat faham tentang proses mitigasi air dan mengapa air terawat tidak cukup di Selangor dan kita bersyukur kerana Perdana Menteri berjanji isu air akan diselesaikan terlebih dahulu jika BN menang.

“Kerajaan negeri sekarang gagal menyelesaikan isu air dan masalah ini akan berterusan jika Pakatan Harapan terus meme­rintah. Jika masalah ini berpanjangan, kesannya bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga ke atas pelaburan, sebab itu Selangor hari ini jatuh ke tangga keempat dalam soal pelaburan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan Manifesto BN Selangor yang menampilkan lima matlamat utama, 10 program serta 100 inisiatif fokus yang disifatkan sebagai terbaik.

Noh memberitahu, dalam aspek pendidikan, BN Selangor menawarkan antaranya pendidikan percuma membabitkan sekolah rendah agama (SRA), mewujudkan taska dan tabika khas kerajaan negeri, menaik taraf Universiti Selangor (Unisel) menjadi universiti awam sepenuh­nya serta menyediakan bas sekolah percuma.

“Kita juga akan melaksanakan langkah berbeza dengan kerajaan negeri sekarang dalam isu beg plastik. Jika (Mohamed) Azmin mengenakan caj 20 sen ke atas pengguna, kita akan memberi 20 sen kepada setiap pengguna yang membawa beg mesra alam sendiri setiap kali mereka membeli-belah di pasar raya.

“Bagi segmen kesihatan pula, antaranya kita menawarkan pusat dialisis percuma di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengurangkan kos perubatan rakyat memandangkan ramai dalam kalangan masyarakat kita sekarang mengalami masalah kega­galan buah pinggang,” ujarnya. UTUSAN

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here