SHAH ALAM: ASWAJA menyarankan Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin supaya segera bertaubat berhubung kenyataannya “kalau saya Tuhan” yang jelas bertentangan dengan akidah umat Islam.

Presidennya, Dr Zamihan Mat Zin al Ghari, berkata ia adalah perkataan kufur yang boleh membawa kepada gugurnya akidah beliau sebagai seorang muslim apabila cuba menyamakan dirinya dengan Tuhan yakni Allah SWT.

“Sebagai manusia yang lemah penuh dengan dosa dan maksiat, untuk menyamakan diri dengan Tuhan yang maha suci adalah tidak boleh sama sekali walaupun menggunakan perkataan “kalau”. Allah SWT sama sekali tidak boleh disamakan dengan makhluk kerana Allah SWT mempunya sifat kesempurnaan, kemuliaan dan keagunganNya tersendiri.

“Ahli Parlimen Sepang adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada dosa, kenyataannya “kalau saya Tuhan, saya tidak akan menjadikan manusia seperti kamu” yang ditujukan kepada Ahli Parlimen Baling adalah satu prejudis terhadap Allah SWT. Keghairahannya berpolitik menjadikan beliau cuba mengandaikan kedudukannya seperti makam ketuhanan Allah. Sedangkan Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Agung, maha penyayang dan sentiasa menerima taubat hambaNYA.

“Kenyataan Hanipa jauh tersasar dan jelas menggelincirkan akidahnya. Kemungkinan beliau mengeluarkan kata-kata sedemikian rupa tanpa disedari. Namun, sebagai pemimpin, beliau tidak perlu malu dan ego untuk menarik balik kenyataan itu, memohon maaf dan bertaubat. Sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Kalau saya Tuhan” keluar daripada mulut Hanipa di Dewan Rakyat ketika beliau sedang berbahas dan menyelar Datuk Seri Azeez Abdul Rahim yang menimbulkan rasa kurang senang Ahli Parlimen PAS dan BN yang lain.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali kemudiannya bangkit membatah kenyataan Hanipa dan memintanya menarik balik serta memohon maaf, namun Ahli Parlimen sepang itu enggan berbuat demikian.

Sebaliknya apabila ditegur Hanipa semakin melenting dan angkuh.

“Tinggi mana pun ilmu kita, hebat manapun kedudukan kita, kita ini hanyalah hambaNYA yang lemah dan hina saja. Janganlah cuba menongkat langit dengan tidak mahu mengakui kesilapan.

“Ini bukan kali pertama Hanipa mengeluarkan kenyataan sebegini, malah beliau sebelum ini pernah mempertahankan golongan Atheist dengan mencadangkan agar ateisme diiktiraf sebagai agama.

“Hanipa juga pernah mempertahankan ajaran Syiah dengan menyelar JAKIM agar fatwa tentang kesesatan Syiah dikaji semula,” tambah Zamihan lagi.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here