SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi akan menulis surat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memaklumkan perkembangan 13 ADUNnya yang sehingga kini dinafikan untuk menerima wang peruntukan wakil rakyat.

Sallehen tidak memerincikan dengan lebih lanjut bilakah surat itu akan dihantar namun hanya memberitahu ia akan dibuat pada hujung minggu ini.

Beliau juga memberitahu PAS Selangor akan menggesa Jabatan Audit Negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyiasat mengenai penahanan peruntukan tahunan untuk ADUN parti itu.

Pembekuan RM800,000 untuk setiap wakil rakyat kerajaan negeri itu hanya melibatkan ADUN PAS dan dikatakan bertujuan mencantas khidmat mereka kepada penduduk setempat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sallehen berkata pihaknya sudah memberikan ruang secukupnya kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menyelesaikan kemelut itu tanpa melibatkan istana atau mana-mana pihak lain.

“Kita akan ambil beberapa langkah selepas ini, termasuk menulis surat kepada Tuanku (Sultan Selangor). Yang kedua, kita akan minta Jabatan Audit Selangor membuat satu siasatan.

“Kalau masih tiada penyelesaian, maka kita mungkin akan buat sedikit pengaduan kepada SPRM untuk melihat unsur-unsur salah guna kuasa di peringkat eksekutif (kerajaan negeri),” kata Sallehen dipetik sebuah portal.

Sallehen berkata kemelut itu sudah masuk bulan ketiga kerana pejabat menteri besar enggan mengeluarkan arahan bertulis kepada pegawai daerah untuk meluluskan dana yang dituntut oleh ADUN PAS untuk projek-projek mesra rakyat di kawasan mereka.

Jabatan Audit Negeri dan SPRM perlu untuk mengenal pasti terdapat atau tidak kepincangan urus tadbir dan kemungkinan wujud penyelewengan kuasa melibatkan Pejabat Menteri Besar, kata Sallehen.

Pengaduan kepada SPRM adalah untuk menyiasat sekiranya berlaku unsur salah guna kuasa di peringkat eksekutif dan pelaksana, kerana menjalankan arahan tidak bertulis, tambahnya.

Menurutnya, Jabatan Audit Selangor pula perlu menyiasat dan mengambil tindakan ke atas ketidakpatuhan prosedur bayaran berikutan tidak ada arahan bertulis dari Pejabat MB Selangor untuk tindakan penahanan peruntukan itu.

PAS dan PKR sebelum ini bersetuju untuk terus bersama dalam kerajaan negeri sehingga PRU14, selaras dengan mandat yang diperolehi daripada pengundi pada pilihan raya lalu.

PRU 14 yang diramal akan diadakan dalam beberapa minggu saja lagi, dijangka menyaksikan persaingan sengit baik di peringkat DUN mahupun Parlimen.

Selain pencabar tradisinya Umno, PAS akan berdepan dengan PKR bersama sekutunya Amanah dan PPBM.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here