PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya 12 ‘hotspot’ dikenalpasti berisiko tinggi bagi aktiviti air selepas meragut banyak nyawa setakat Februari 2018.

Justeru Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPPKT), Tan Sri Noh Omar berkata pihaknya mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengawasi kesemua kawasan itu ketika musim cuti sekolah.

“Saya telah mengarahkan JBPM untuk mengawasi kawasan berisiko tinggi ini pada musim cuti persekolahan di mana kes mati lemas didapati kerap berlaku.

“Bilangan orang mati lemas semakin tahun semakin banyak. Bukan sahaja kadar kemalangan, kebakaran sahaja tinggi. Sekarang kemalangan di dalam air meningkat.

“Kalau ikut perangkaan bomba, pada 2016 ada 260 orang meninggal mati lemas. Tahun 2017, ia meningkat kepada 327 orang. Bertambah 127 orang. Dan tahun ini sehingga Februari 2018, dalam dua bulan, sudah 65 orang meninggal,”katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) di Putrajaya semalam.

Ujar Noh saban tahun kadar kematian melibatkan aktiviti air semakin meningkat dan ia membimbangkan Kerajaan Persekutuan.

Tambah Noh, pihaknya akan menjalankan langkah jangka masa pendek dan panjang bagi menangani peningkatan kadar kematian bagi kategori ini.

“Langkah pertama, bomba akan hadir mengawasi lokasi-lokasi berisiko ini pada musim cuti sekolah. Bomba telah kenalpasti 12 kawasan berisiko tinggi yang melibatkan lebih lima mangsa sudah meninggal dunia. Ada di sungai, tasik air terjun dan juga tali air.

“Di sungai, yang paling banyak mencatat angka kematian 15 kes adalah Sungai Batu Payung, Tawau, Sabah. Kalau tasik pula yang sudah meragut 10 nyawa adalah Empangan Semenyih.

“Sementara air terjun pula, di Air Terjun Sungai Serdang, Selangor. Sementara pantai pula yang banyak mengorbankan nyawa adalah Pantai Nipah, Kelantan,” jelas Noh.

Langkah kedua, KPKT akan mewujudkan bercadang mewujudkan pusat data melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama-sama Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengumpul data-data penting dalam usaha mengurangkan insiden lemas.

Selain itu, KPKT akan membentang Pelan Tindakan Jangka Panjang dan Jangka Pendek pada mesyuarat Kabinet dan mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan untuk kelulusan sebelum diguna pakai dalam usaha mengurangkan insiden kejadian lemas, katanya.

KPKT juga akan mengadakan Program Kesedaran Keselamatan Air di Pantai Cahaya Negeri, Batu 5, Port Dickson pada 16 Mac ini.

Seterusnya ujar Noh, KPKT akan menguatkuasakan undang-undang kecil untuk mengambil tindakan terhadap individu yang melakukan aktiviti air di kawasan larangan.

“Tidak dapat dinafikan segelintir pengunjung tidak mengambil peduli papan tanda di kawasan berisiko tinggi yang melarang aktiviti air.

“Sehubungan itu, kementerian berpandangan bahawa hukuman dan denda perlu diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang kecil,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here