Shah Alam 2 Mac – Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengingatkan rakan-rakannya dari kalangan ahli politik mahupun dalam mana-mana organisasi kerajaan atau swasta supaya berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa fitnah dan penipuan pihak tertentu yang menggunakan serta menjual nama untuk meraih kepentingan tertentu termasuklah politik.

Nasihat itu disampaikan Abdul Azeez selepas mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan serta politik fitnah di sebalik tuduhan menerima wang berjumlah RM3 juta daripada sebuah syarikat kontraktor pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang, Zenith Construction Sdn. Bhd (ZCSB) baru-baru ini.

“Saya hanya tahu mengenai tuduhan itu selepas menerima surat tuntutan daripada firma peguam yang mewakili Zenith pada 24 Februari lalu. Sedangkan saya tidak pernah menerima apa-apa wang dari syarikat itu dan tidak pernah jumpa Datuk Zarul Mohd. Zulkifli (CEO ZCSB)

“Sebaliknya saya jadi mangsa kes orang jual nama. Hari ini adakah titik noktah (hentikan fitnah) dan saya meminta pihak berkuasa siasat secara telus. Rakan-rakan saya di luar sana seperti Ahli-Ahli Parlimen, Pengerusi, Menteri atau Timbalan Menteri supaya berhati-hati dengan kegiatan pihak tertentu yang pakai dan jual nama kita,” kata Azeez kepada para wartawan selepas membuat laporan polis di Balai Seksyen 9, kira-kira pukul 10 pagi ini.

Dalam masa yang sama, Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Pengerusi Tabung Haji itu memberitahu telah menyerahkan kepada pihak peguamnya, Jahaberdeen & Co. untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap ZCSB.

Dalam pada itu, Peguam kepada Azeez, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos mengesahkan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang jika ZCSB gagal mematuhi tuntutan pihaknya supaya menarik balik surat daripada firma guaman syarikat itu dalam tempoh empat hari bermula hari ini.

Selain itu, ZCSB juga dituntut supaya mengemukakan permohohan maaf secara rasmi kepada Azeez. – SelangorPost.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here