SHAH ALAM – Nampaknya isu penjualan tanah di mukim Ijok tidak akan dijawab Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam masa terdekat selepas beliau dilaporkan cedera dan mengalami sakit tulang belakang.

Terdahulu, pimpinan UMNO Selangor bersilih ganti tampil mendesak agar Azmin menjelaskan isu penjualan tanah lebih 880 hektar kepada pihak ketiga oleh dua syarikat pemaju.

Kecederaan tulang belakang dialami Datuk Seri Azmin Ali berlaku ketika beliau teruja mahu menyambut cucu sulungnya kata jurucakap kerajaan Selangor hari ini.

Menurut Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor Yin Shao Loong, Azmin sedang membersihkan rumahnya dan menyusun semula perabot di situ apabila kecederaan berlaku.

“Menteri Besar Selangor sedang menjalani rawatan terapi tulang belakang (fisioterapi) dan perlu berehat dengan cukup sebelum boleh memulakan tugas,” katanya.

Azmin, 53, dikurniakan cucu sulungnya pada 14 Feb lalu. Bayi itu adalah hasil perkongsian hidup anak pertama menteri besar Selangor itu Farah Shazliyana dengan Muhammad Syaqib Zainudin.

ADUN Bukit Antarabangsa itu sehingga kini berdolak dalih berkenaan isu penjualan tanah Ijok yang kini dalam perbicaraan di Mahkamah Persekutuan.

Persoalan yang perlu dijawab Azmin adalah mengapa beliau memilih untuk memulangkan tanah ratusan hektar itu kepada dua pemaju – LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd – walhal keputusan dua mahkamah sebelum ini memihak kepada kerajaan negeri.

Untuk rekod, selepas Khalid merampas tanah berkenaan, dua syarikat pemaju itu memfailkan saman namun mereka kalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan Mahkamah Rayuan.

Kini kes itu dibawa ke Mahkamah Persekutuan dan ramai yang menjangkakan kemenangan sekali lagi akan berpihak kepada kerajaan negeri.

Namun ketika ini, Azmin bertindak memulangkan kembali tanah tersebut kepada dua pemaju itu sebelum ia dijual kepada pihak ketiga dengan harga RM1.18 bilion.

Hasil penjualan itu dikatakan dibayar kepada semua 981 peneroka, namun pada kadar lama (tidak mengikut kadar pasaran baru), sekali gus membolehkan pemaju meraih untung berlipat kali ganda.

Peneroka pada mulanya menyerahkan tanah itu kepada dua pemaju itu untuk dibangunkan, namun ia terbengkalai sehingga Khalid masuk campur.

Khalid yang kecewa dengan tindakan penyelesaian oleh Azmin mendedahkan, beliau pernah didatangi pihak tertentu dan ditawarkan imbuhan untuk menyelesaikan isu tersebut ketika menjadi menteri besar.

Malah dakwanya, terdapat ejen-ejen tanah serta institusi kewangan tidak mahu projek itu dipulihkan.

Namun beliau tekad untuk meneruskan kes mahkamah kerana yakin tanah ratusan hektar itu adalah milik rakyat negeri Selangor.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here