KUALA SELANGOR- Dasar dan janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor membina rumah mampu milik untuk rakyat di bawah Skim Rumah SelangorKu disifatkan sebagai ‘kongkalikong’ atau tidak jujur selepas mereka membatalkan 9 projek perumahan itu baru-baru ini. 

Membidas keputusan kerajaan negeri itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar turut mempersoalkan alasan berbeza yang diberikan oleh Exco kerajaan negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilihat cukup meragukan.

 

“Exco (Iskandar) kata pembatalan 9 projek Skim Rumah SelangorKu kerana pihak pemaju tak dapat Kebenaran Merancang. Menteri Besar (Azmin) pula menyalahkan pemaju kerana mahu bina rumah mahal.

“Bagi saya, kedua-dua alasan ini tak boleh pakai, kongkalikong sebab nak elak kegagalan mereka sediakan rumah mampu milik untuk rakyat yang dijanjikan sebelum ini,” kata Noh kepada para wartawan selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baru Cina di sini.

Dalam masa yang sama, Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut mendedahkan aduan daripada pihak pemaju mengenai dasar kerajaan PH Selangor yang menekan mereka dalam membina Skim Rumah SelangorKu.

Katanya, aduan itu dikemukakan pihak pemaju kepada pihaknya yang antara lain menyatakan kerajaan PH Selangor mengenakan pelbagai caj yang terlalu tinggi seperti premium tanah, caj pembangunan dan sebagainya.

“Sedangkan kerajaan negeri tidak keluarkan satu sen pun untuk membina Rumah Selangorku. Akhirnya pihak pemaju terbeban dan tidak sanggup untuk membina rumah di bawah skim itu,” jelas Noh.

Selain itu, Noh turut mencabar kerajaan negeri supaya menunjukkan projek Rumah SelangorKu yang dibina terlebih dahulu daripada projek rumah harga biasa di negeri ini seperti mana syarat yang ditetapkan.

Katanya, beliau mempunyai bukti bahawa tidak ada Projek Rumah SelangorKu dibina dahulu daripada projek harga rumah biasa dilakukan di negeri ini.

“Saya cabar Exco dan Menteri Besar, tunjukkan mana projek Rumah SelangorKu yang dibina dahulu. Saya ada bukti, tidak ada yang dibina dulu,” kata beliau. – SelangorPost.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here