SHAH ALAM: Susulan sembilan Projek Rumah Selangorku dibatalkan, kerajaan negeri Selangor didesak menyenaraikan berapakah unit yang sudah dibina dan dimana lokasinya?

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan bertegas dalam hal ini bukan rakyat sahaja yang dipermainkan malah pemaju juga dikambing hitamkan.

“UMNO dan BN Selangor memandang perkara ini dan mendesak agar kerajaan negeri segera membuktikan, di manakah ‘Rumah Selangorku’ yang telah dibina? Berapa jumlahnya?

“Tidak mahu mengaku salah, pemaju dikambing hitamkan begitu sahaja sedangkan Kebenaran Merancang merupakan bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan yang merupakan agensi di bawah kerajaan negeri? Siapa tipu siapa?,” soalnya menerusi kenyataan medianya, pada Jumaat.

Mat Nadzari berkata demikian mengulas pengumuman Exco Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad bahawa projek Rumah Selangorku dibatalkan disebabkan salah pemaju.

Ujarnya pemaju gagal mendapatkan Kebenaran Merancang dalam tempoh dua tahun dari tarikh kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Iskandar yang juga ADUN Chempaka berkata, pembatalan sembilan projek tersebut akan disahkan oleh MMKN yang melibatkan tiga projek di Kajang, dua projek di Selayang dan masing-masing satu projek di Subang Jaya, Shah Alam, Ampang Jaya dan Klang, kesemuanya dilulukan antara tahun 2014 hingga 2016.

Mat Nadzari berkata kerajaan negeri mengambil jalan mudah dengan menyalahkan pemaju dan tidak mengakui syarat yang ditetapkan bahawa 50 peratus pembangunan mestilah Rumah Selangorku tanpa subsidi, menyebabkan projek brkenaan gagal.

“Mengapa kerajaan negeri tidak menggunakan rizab yang didakwa berbilion ringgit bagi memberi subsidi kepada pembinaan ‘Rumah Selangorku’ bagi mengurangkan beban pembeli?

“Rakyat Selangor harus membuka mata dan menilai sebaik-baiknya kerana pada hakikatnya banyak lagi inisiatif ‘Peduli Rakyat’ yang diumumkan hanya sekadar cantik di atas kertas dan pelaksanaannya begitu teruk. Akhirnya kebajikan rakyat terabai begitu sahaja,” katanya.

Pun begitu Mat Nadzari berkata rakyat Selangor bertuah dapat melihat wajah sebenar Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang berbeza dengan komitmen yang ditunjukkan UMNO BN.

“Bukan satu tugas yang mudah tetapi kerajaan pusat tampil dengan kesungguhan yang tinggi dan ia telah terbukti apabila beberapa projek perumahan yang membabitkan keperluan mendesak tadi berjaya disiapkan termasuk lebih awal.

“Ini merupakan fakta yang tidak boleh dinafikan dan usaha itu bukan setakat satu pengumuman tetapi ia menjadi kenyataan,” katanya lagi.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here