PUTRAJAYA – Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9) yang akan bermula di Kuala Lumpur esok hingga 13 Feb bakal mencipta rekod peserta paling ramai dalam sejarah penganjurannya dengan lebih 30,000 peserta dari 192 negara.

Bertemakan ‘Cities 2030, Cities for All’, WUF9 akan memberi fokus terhadap pelaksanaan agenda baharu perbandaran.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata, jumlah tersebut jauh melebihi sasaran awal yang ditetapkan kementerian iaitu 25,000 peserta, dengan lebih 50 peratus merupakan peserta luar negara.

“Lebih 70 menteri serta banyak datuk bandar dari seluruh dunia mendaftar untuk hadir ke WUF9,” katanya ketika berucap merasmikan Setem Ku, setem keluaran terhad sempena WUF9, di Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini hari ini.

Sempena WUF9, KPKT mengeluarkan 5,000 keping setem khas berharga 60 sen yang mempamerkan logo WUF9 dan dicetak oleh Pos Malaysia.

Setem berkenaan boleh didapati di kaunter merchandise WUF9 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mulai hari ini.

Pelbagai acara termasuk perhimpunan, rundingan meja bulat peringkat tinggi, dialog, sesi khas dan rundingan meja bulat pemegang kepentingan disusun sempena forum tujuh hari itu, diadakan untuk kali kedua di benua Asia.

WUF adalah forum bukan legislatif yang dipanggil Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UN-Habitat) sejak 2002. WUF diadakan di bandar raya berbeza dua tahun sekali bagi meneliti isu semasa paling mendesak yang dihadapi dunia.

Bandaraya yang pernah menjadi hos WUF termasuk Naples, Rio de Janeiro, Nanjing, Vancouver, Barcelona dan Nairobi. – BERNAMA

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here