SHAH ALAM – Ketua Pemuda BN Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Mohamad Rafii mencabar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menamakan satu pembangunan yang dibuat sepanjang tempoh 10 tahun Pakatan Harapan memerintah negeri itu.

Menurutnya, sepatutnya dalam tempoh 10 tahun, lebih banyak pembangunan dilaksanakan, sebaliknya pembangkang hanya berdalih dengan pelbagai alasan.

“Dah 10 tahun dah, dulu dia kata eh baru lima tahun, satu penggal, tak ada masa, dah sepuluh tahun apa alasan mereka kata tak boleh buat?

“Azmin, awak namakan satu pembangunan untuk rakyat Selangor, tidak ada, zero (kosong), apa yang dibawa tentang pembangunan Selangor?,” katanya dalam satu temu bual di FB Live Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, segala pembangunan yang ada di Selangor hari ini adalah ciptaan BN, bahkan Azmin hanya mengurus apa yang sudah dibangunkan oleh pemimpin BN.

“Dia hanya menguruskan. Urus, saya pun boleh urus, awak letak seorang pentadbir untuk urus, saya pun boleh, tapi isunya sekarang, nak jadi pemimpin ni kita kena ada satu idea untuk memperhebatkan apakah yang dikatakan ekonomi negara,” katanya.

Anak kelahiran Pasir Panjang itu berkata, paling menyedihkan dalam isu bola sepak yang juga turut menerima tempias politik.

“Pasukan bola Selangor nak guna Stadium Shah Alam pun tak boleh, tengok rakusnya kuasa dia, dari dulu BN tak pernah main politik dengan bola,” katanya.

Mohd Razlan berkata, begitu juga dalam soal peluang pekerjaan, pembangkang di Selangor tidak mampu sediakan pekerjaan kepada rakyat Selangor hinggakan mereka terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur.

“Saya kesian kepada rakyat Selangor sudahlah tiada pembangunan yang dibawa, tiada pula inisiatif disediakan dalam soal peluang pekerjaan. Orang Selangor duk sibuk berhijrah ke Kuala Lumpur cari kerja,” katanya. SINAR HARIAN

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here