BATANG KALI – Masyarakat diminta tidak membuang minyak masak terpakai sebaliknya menjual kembali kepada Akademi Tahfiz Al Hira’ (Atah) dan Kelab Belia Sentosa (Best) bagi tujuan penghasilan biodisel.

Adun Batang Kali, Datuk Ahmad Nadzari Ahmad Dahlan berkata, pusat tahfiz itu akan menjual semula ke kilang terpilih sebagai usaha menjana pendapatan sampingan selain mengajak orang ramai beramal.

Menurutnya, insiatif tersebut wajar dicontohi dan tidak hanya bergantung kepada derma orang ramai semata-mata bagi menampung perbelanjaan pengurusan pusat tahfiz.

“Di sini ada beberapa institut pengajian tinggi seperti Darul Quran, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (Semasyur dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

“Penggunaan minyak masak di pusat pengajian ini boleh dikatakan tinggi kerana mempunyai ramai pelajar dan kebiasaan kita akan buang saja minyak masak yang sudah dipakai.

“Maka sebaiknya jalinkan kerjasama dengan menjual kembali minyak masak terpakai kepada Atah dan Best sebagai sokongan membantu pusat tahfiz,” katanya ketika menyempurnakan gimik pelancaran Kempen Kumpul Minyak Masak Terpakai di tapak Karnival Negaraku Sehati Sejiwa, kelmarin.

Hadir sama, Mudir Atah, Mohamad Izan Abdullah Halim dan Presiden Best, Muhammad Ayub Ombi.

Mat Nadzari berkata, masyarakat perlu menyokong usaha tersebut termasuk pengusaha kedai makan bagi mengelak pembuangan minyak masak terpakai yang boleh mencemarkan alam sekitar.

Menurutnya, pusat tahfiz itu membeli pada kadar RM1.50 sekilogram dan menjual kembali ke kilang dengan harga RM1.80 sekilogram.

“Hanya untung 30 sen untuk tabung pembinaan pusat tahfiz dan pengurusan maka ini insiatif terpuji,”katanya. SINAR HARIAN

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here