SHAH ALAM – Pakatan Harapan (Harapan) Selangor disifatkan semakin mengarut apabila pertelagahan dalam rundingan kerusi di negeri itu dilihat semakin kusut melalui kenyataan-kenyataan bercanggah yang dikeluarkan oleh pimpinan parti komponennya.

Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail berkata, perbalahan secara terbuka merupakan petanda jelas situasi komponen Harapan yang semakin bercelaru menjelang PRU14 tidak lama lagi.

“Kita dapat lihat hari ini pemimpin Harapan di Selangor buat kenyataan seorang ke utara, seorang ke selatan dalam soal pembahagian kerusi ini. Bermula dengan kenyatan Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) kepada Amanah, kemudiannya diikuti kenyataan DAP dan disusuli oleh kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua yang menafikan berlakunya rundingan berhubung pembahagian kerusi.

“Rakyat dapat melihat perbalahan yang berlaku secara terbuka ini, bagi saya petanda jelas, bahawa Harapan di Selangor semakin lama semakin mengarut. Apabila mereka sendiri mula berpecah belah dan bertelagah sesama sendiri hanya kerana semata-mata untuk berebut kuasa di peringkat Dun.

“Rakyat perlu menilai, apakah begini tahap profesionalisme pakatan parti politik yang kita mahu berikan kuasa untuk memerintah negeri? Sebab itu Selangor tidak membangun dengan yang sepatutnya di bawah kerajaan Harapan yang diketuai oleh Menteri Besar, Mohamed Azmin,” katanya dalam satu kenyataan menerusi aplikasi Whatsapp.

Selain itu, Zein Isma yang juga Ketua Umno Bahagian Subang turut menjangkakan rundingan berkenaan tidak akan selesai biarpun Pengerusi Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa rundingan akan selesai dalam masa terdekat.

“Apakah Tun Mahathir merasakan mereka ini semua akan tunduk kepadanya? Tun Mahathir perlu ingat, mereka ini adalah penentangnya. Kewujudan PKR itu sendiri merupakan simbol penentangan terhadap beliau. Bukan mudah untuk beliau menyelesaikan isu pembahagian kerusi ini, kerana ia gagal diberikan secara adil dengan permuafakatan bersama.

“Biarpun Tun Mahathir boleh membuatkan mereka bersetuju dengan pembahagian kerusi di peringkat pemimpin atasan, belum tentu lagi beliau mampu untuk memuaskan hati ahli dan para penyokong di peringkat bawahan.

“Inilah yang terjadi di Negeri Sembilan baru-baru ini sehingga ada yang mengamuk sehingga berlakunya kejadian membaling kerusi kerana tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi yang dilakukan oleh Harapan Negeri Sembilan,” katanya. SINAR HARIAN

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here