SHAH ALAM: Bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin menyifatkan kerajaan pakatan pembangkang di Selangor dan Pulau Pinang tidak akan terbentuk sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus.

Oleh itu Anina berkata, gesaan pembangkang supaya SPR menjemput pemantau antarabangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak lebih sekadar drama bagi memburukan imej kerajaan.

Selain turut menyifatkan ia sebagai gesaan terdesak dari kem pembangkang bagi mendapatkan perhatian dan simpati pengundi kononnya sistem pemantau pilihanraya di negara ini tidak cekap.

“Sedarlah anak bangsa dan rakyat Malaysia, tindakan menjemput pemantau asing untuk PRU14 ini umpama bapa yang cuba memburukkan anak sendiri di mata antarabangsa yang kelak memburukkan nama keluarga secara keseluruhannya.

“Saya pelik bagaimana gesaan ini boleh disokong kem pembangkang kerana umum maklum, mereka tetap mempunyai pengundi sendiri malah mampu mentadbir negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang hasil keputusan PRU lepas.

“Jadi, adakah sistem pengawasan dan pemantauan PRU kita tidak cekap hingga kem pembangkang mampu menawan beberapa negeri dan meningkatkan pengaruh di beberapa kawasan tertentu?,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Terbaru, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pelbagai helah penipuan bagi mempertahankan kerajaannya pada PRU14.

Oleh itu bagi memastikan PRU14 telus Muhyiddin berpandangan bahawa pemantau asing perlu dijemput bagi memantau perjalanan PRU.

Sementara itu Anina berkata, seperti biasa, pembangkang gemar berilusi dengan nafsu kerana terlalu ingin menang hingga terdetik untuk membawa pasukan pemantau PRU asing.

“Dahulunya propaganda yang dimainkan adalah pengundi hantu, lampu padam, usung tong undi dan sebagainya. Kali ini apa pula?,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here