KUALA SELANGOR – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa agenda kerajaan untuk me­ningkatkan taraf hidup kaum India merupakan komitmen yang berterusan dan bukan percaturan politik semata-mata.

Perdana Menteri berkata, buktinya kerajaan telah membangunkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) pada tahun lalu yang menumpukan kepada aspek keperluan asas, kebajikan perumahan, pendidikan, keusa­hawanan dan peningkatan pendapatan kaum India di negara ini.

Beliau bagaimanapun berkata, usaha-usaha tersebut tidak akan dapat dicapai dalam tempoh yang singkat selain turut memerlukan sokongan padu dalam kalangan masyarakat India sendiri

“Saya faham, tuan-tuan ingin­kan supaya anak-anak dapat pen­didikan yang berkualiti. Saya sedar tuan-tuan mahu peluang ekonomi yang lebih baik, isu ke­rakyatan diselesaikan dan mahu aspirasi dan cita-cita kaum India difahami.

“Usaha ini adalah usaha berte­rusan dan kita tidak boleh sampai kepada matlamat itu dalam sehari dua saja kerana bukan setakat melibatkan pembangunan fizikal, tetapi juga perubahan struktur, sikap, nilai dan kekuatan kaum India.

“Inilah cabaran yang kita hadapi, tapi yang pastinya ada harapan untuk semua dan sebab itu saya perlukan komitmen serta kepercayaan masyarakat India untuk bekerjasama dengan saya,” katanya ketika berucap dalam Majlis Mesra Rakyat sempena Thaipusam di Kuil Subramaniar Swamy di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.

Terdahulu kira-kira 5,000 pe­nganut Hindu di sekitar daerah ini menyambut ketibaan Perdana Menteri dalam majlis itu yang diketuai Pengerusi kuil, T. Mogana Sundram.

Najib dalam pada itu memberi jaminan bahawa kerajaan akan menunaikan apa yang dijanjikan kepada semua rakyat manakala hak dan kebebasan agama akan tetap dijaga Barisan Nasional (BN).

“Kita bukan omong kosong, tetapi nijjam (kenyataan), kita akan tunaikan apa yang kita janjikan. Dalam Bajet 2018 saya telah umumkan peruntukan RM50 juta untuk Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India, RM50 juta untuk pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usa­ha Niaga Nasional (TEKUN) dan RM50 juta untuk kerja penyelenggaraan dan baik pulih sekolah Tamil.

“Selain itu, saya juga umumkan satu inisiatif baharu iaitu pengagihan khas sejumlah 1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia untuk kaum India,” ujar beliau.

Sementara itu, Najib menambah, beliau juga akan melancarkan skim pelaburan khas untuk golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) pada bulan depan yang mana ia akan menambah simpanan 100,000 isi rumah B40 kaum India di negara ini.
UTUSAN

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here