SHAH ALAM – Usahawan-usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terutamanya dari kalangan bumiputera perlu lebih agresif merebut peluang yang disediakan kerajaan bagi meningkatkan potensi serta keupayaan mereka dalam sektor itu.

 

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan membuat penegasan itu merujuk kepada usaha kerajaan memperuntukkan RM22.2 bilion dalam Bajet 2018 bagi memperkasakan sektor PKS selain memastikan para usahawan pelbagai kaum di negara ini dapat bersaing di peringkat pasaran yang lebih tinggi .

“Kerajaan menyediakan peruntukan RM22.2 bilion pada tahun ini bagi membangunkan sektor PKS dan ia merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah negara ini dalam usaha membangunkan sektor ekonomi itu.

“Maka adalah diharapkan para usahawan PKS khususnya bumiputera yang mewakili 37 peratus daripada 900,000 bilangan entiti PKS di negara ini supaya dapat merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan ini,” katanya kepada wartawan dalam sidang media selepas mnghadiri majlis ramah mesra Yayasan Amal Maaruf Malaysia (YAMM) di sini.

Dalam masa yang sama, Ahmad turut memberitahu selain peluang yang perlu direbut oelh para usahawan PKS, peruntukan yang di sediakan kerajaan itu melibatkan pinjaman muda, geran secara terus dan geran sepadan bagi membolehkan golongan itu meneroka pasaran yang lebih jauh selain menerima latihan, tenaga kerja, teknologi yang sesuai serta efektif selaindaripada modal kerja.

Katanya, kerajaan meletakkan sasaran jumlah eksport SME di negara ini dapat dicapai pada kadar 21 peratus dan menyumbang 41 peratus kepada ekonomi negara menjelang 2020.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here