KUALA LANGAT – Hayat Sungai Langat yang sejak sekian lama menjadi nadi kepada kehidupan masyarakat di mukim Tanjung Dua Belas di sini mungkin tidak mampu bertahan lama apabila didapati tercemar dipercayai akibat aktiviti perlombo­ngan pasir yang tidak terkawal.

Berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia di kawasan berkenaan baru-baru ini, kualiti air yang mengalir di sungai itu yang direkodkan sepanjang 149.3 kilo­meter sepatutnya jernih sebelum ini didapati bertukar seperti ‘teh tarik’ akibat bercampur de­ngan lumpur.

Difahamkan, nasib sungai itu dikesan berada dalam keadaan sedemikian sejak dua tahun lalu selepas aktiviti perlombongan pasir dikatakan mula bergiat aktif di kawasan mukim berkenaan yang dijalankan oleh sebuah syarikat kontraktor persendirian lantikan anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) sebelum ini.

Malah, masalah pencemaran Sungai Langat itu diakui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd. Shariff selepas beliau sendiri telah me­nerima aduan daripada penduduk di mukim berkenaan berhubung masalah berkenaan yang dikenal pasti antara kesan daripada aktiviti perlombongan itu.

“Sebenarnya masalah pencemaran sungai ini telah pun diangkat ke pengetahuan agensi di bawah kerajaan negeri sebelum ini. Namun, sehingga ini saya tidak menerima apa-apa perkembangan lanjut mengenainya termasuklah usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan negeri untuk mengatasinya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Penjelasan Shahrum itu dilihat mengesahkan maklumat yang diterima berhubung dakwaan salah laku syarikat kontaktor terbabit yang dilantik KSSB dalam menjalankan aktiviti perlombo­ngan pasir di mukim berkenaan pada tahun 2016.

Difahamkan, syarikat terbabit ketika itu didakwa bukan sahaja menjalankan kerja-kerja pengorekan pasir di luar kawasan permit, tetapi turut melakukan aktiviti yang sama di dalam di kawasan zon penampan di tebing Sungai Langat sekali gus melanggar syarat permit serta Akta Kualiti Alam sekeliling 1974 dan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999.

Pelanggaran syarat permit itu difahamkan telah diperakui oleh KSSB sendiri menerusi laporan penilaian risiko ke atas syarikat kontraktor terbabit yang dikeluarkan pada tahun lalu.

Namun, selain tiada tindakan diambil oleh kerajaan negeri berhubung dakwaan pelanggaran syarat permit sebelum ini, syarikat terbabit sebaliknya dilaporkan terus menjalankan aktiviti perlombongan pasir seperti biasa.

Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Warisan Alam Sekitar Malaysia (WASM), Asma Haliza Abd. Hamid ketika dihubungi mahu kerajaan negeri supaya mengambil tindakan proaktif memulihkan semula kualiti Sungai Langat untuk manfaat generasi masa depan.

“Sungai Langat ini merupakan antara sungai utama yang membekalkan sumber air kepada rak­yat Selangor. Sepatutnya sebarang aktiviti ekonomi perlu dipastikan tidak menjejaskan akan sekitar termasuk sungai,” ujarnya.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here