SHAH ALAM – Seramai 300 ibubapa menerima bantuan persekolahan anak-anak menerusi program “Back To School 2018” anjuran Puteri UMNO Bahagian Shah Alam.

Ketuanya, Nurul Husna Yem berkata program yang bertujuan membantu ibubapa menyediakan barangan sekolah anak-anak sudah dijadikan acara tahunan.

Ujar Nurul Husna UMNO Selangor yang dipimpin Tan Sri Noh Omar amat prihatin dengan nasib rakyat negeri itu yang terperangkap dengan status ‘miskin bandar’.

“Tahun ini Puteri UMNO mensasarkan 250-300 peserta yang mana peruntukan ini datangnya daripada Tan Sri Noh Omar.

“Terima kasih pada Tan Sri yang amat prihatin dengan masalah rakyat yang berada di bandar. Ramai warga Shah Alam yang memerlukan bantuan sosial daripada UMNO Bhagian. Ia membantu mengurangkan beban warga Shah Alam,” ujarnya selepas menjayakan program “Back To School 2018” di Pusat Membeli-belah Hari-Hari, Pasaraya Ole-Ole Seksyen 18, Shah Alam.

Husna berkata pihaknya menjalinkan kerjasama dengan Pusat Pakaian Hari-Hari dan mendapat potongan diskaun sebanyak 15 peratus untuk setiap barangan.

“Kami terima 15 peratus diskaun daripada Pusat Pakaian Hari-Hari sejak tahun lepas. Tahun lepas pun kita dapat 15 peratus diskaun juga,” ujar Nurul Husna.

Ibubapa yang ditemui Selangorpost rata-rata bersyukur dan menyatakan penghargaan kepada Puteri UMNO Shah Alam kerana menganjurkan program sebegitu, bagi mengurangkan beban yang ditanggung mereka.

Norizzah Salleh berkata program sebegitu sedikit sebanyak mengurangkan beban ibubapa dan berharap ia diteruskan pada tahun-tahun hadapan.

“Kalau boleh (teruskan) buat program dan sumbangan macam ini. Syukur Alhamdullillah.

“Kalau boleh teruskan lagi bantuan untuk kami rakyat marhean. Kalau ada lagi bantuan macam ini, lagi bagus,” katanya.

Sementara seorang bapa kepada dua anak, Suhaidi Harris Fadzillah berkata program anjuran Puteri UMNO Shah Alam begitu bermakna kepada keluarga yang memerlukan, termasuk dirinya.

“Program macam ini dapat bantu keluarga yang memerlukan,” katanya.

Manakala bagi Rozita Mohd Taha, hanya golongan memerlukan seperti dirinya yang akan memahami betapa bermaknanya program sebegini menjelang tiba musim persekolahan sesi 2018.

“Kami ucap terima kasih sebab boleh kurangkan beban kami ibubapa yang ada anak-anak yang sudah bersekolah.

“Program ini banyak bantu kami semua,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here