SABAK BERNAM – Persiapan Umno Bahagian Sabak Bernam berada pada tahap terbaik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketuanya, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh berkata, persediaan jentera pilihan raya Umno Sabak Bernam sudah mencapai 93 peratus.

“Kita hanya tinggal tujuh peratus sahaja lagi persiapan di peringkat Parlimen ini,” katanya ketika ditemui pada Program Sarapan Ukhwah Jentera Pilihan Raya Dun Sungai Air Tawar.

Mohd Fasiah yang juga Ahli Parlimen Sabak Bernam berkata, manakala persediaan jentera parti itu di dua Dun iaitu Sungai Air Tawar dan Sabak melebihi 70 peratus.

“Di Dun Sungai Air Tawar kita mencapai 74 peratus, manakala di Dun Sabak pula pada tahap 76 peratus,” katanya.

Mohd Fasiah memberitahu, semua kelengkapan jentera parti di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) juga turut bersiap-siaga untuk menghadapi PRU-14, yang akan berlangsung pada bila-bila masa.

“Kita sedang mengemaskini mana-mana bilik gerakan di peringkat cawangan.

“Di peringkat PDM dan cawangan ini kita hendak selaraskan semula walaupun dalam pemantauan kebanyakannya sudah melepasi markah lulus 50 peratus, malah ada yang mencapai sehingga 94 peratus,” katanya.

Mohd Fasiah berkata, pihaknya juga sedang berusaha bagi memastikan pengundi kaum Cina dan atas pagar memberikan sokongan penuh kepada BN.

“Paling penting ialah pengundi atas pagar kerana mereka akan melihat berdasarkan suasana perkembangan politik nasional, negeri dan isu di peringkat bahagian.

“Saya yakin di kawasan Parlimen Sabak Bernam iaitu sebuah Parlimen luar bandar isu-isu ini perlu ditangani dan diselesaikan menerusi kaedah penerangan di media sosial seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp berkumpulan.

Katanya, pihaknya turut yakin momentum sokongan pengundi bukan Melayu terdiri dalam kalangan kaum Cina dan India dijangka meningkat berbanding PRU13 lalu.

“Kalau dulu mungkin kita hanya dapat 10 atau 20 peratus sahaja pengundi Cina, tetapi saya yakin peratusan itu meningkat.

“Begitu juga dengan pengundi India yang ada lebih kurang 2,000 pengundi di Parlimen ini.

“Mengikut kajian yang telah kita buat, kita dijangka mendapat lebih kurang 70 peratus undi daripada pengundi India,” katanya. SINAR HARIAN

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here