SUBANG – Isu rumah terbengkalai di Subang Bestari, Seksyen U5 akan dimajukan ke pengetahuan Lembaga Perumahan Negara untuk tindakan susulan, kata ADUN Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Bohan.

Ujarnya tindakan itu terpaksa dilakukan selepas aduan demi aduan yang dibuat pembeli termasuk merujuk Lembaga Hartanah Selangor, tidak diendahkan.

“Pembeli mengadu pada saya. Saya tidak nampak sebarang inisiatif diambil oleh Lembaga Hartanah Selangor. Kesian sebab pembeli rumah ini sudah 19 tahun menunggu.

“Ada yang sudah bayar 10 peratus dari harga rumah, malah ada yang sudah hampir melunaskan jumlah bayaran harga rumah. Mereka ini bukan orang senang,” katanya selepas bertemu pembeli rumah kos rendah, pagi tadi.

Rumah kos rendah ini pada asalnya dijual kepada pembeli dengan harga RM42,000 seunit pada 2003. Bagaimanapun pemaju perumahan itu mengalami bankrap dan sejak itu rumah tersebut terbengkalai.

Tidak lama selepas itu pemaju baru mengambilalih projek tersebut namun menaikkan harga rumah daripada RM42,000 kepada RM58,000 hingga RM68,000 atas alasan ‘naiktaraf’ reka bentuk rumah.

“Pemaju baru kenakan harga yang lebih tinggi kononnya rumah telah dinaiktaraf. Ini tidak sepatutnya berlaku.

“Apa yang akan saya buat, saya mahu jawatankuasa bertindak pembeli rumah ini, kumpul balik semua dokumen berkaitan dan saya akan ajukan terus kepada Lembaga Perumahan Negara. Saya yakin lembaga boleh tolong.

“Kalau Lembaga Hartanah Selangor boleh berkerjasama dengan kerajaan Persekutuan, saya yakin lagi cepat kes ini selesai,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here