SHAH ALAM: Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas ke atas ahli baru DAP, Datuk Zaid Ibrahim yang membidas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata Zaid sepatutnya dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan berikutan keberaniannya menegur baginda sultan.

“Tindakan tegas perlu diambil terhadap Zaid Ibrahim yang begitu biadap terhadap Sultan Selangor.

“Keangkuhan beliau yang membidas titah Sultan Sharifudin adalah merupakan satu tindakan yang mencerminkan dirinya sebagai pemimpin apatah lagi memahami konsep perintah dah diperintah,” ujarnya menerusi satu kenyataan medianya, hari ini.

Irmohizam berkata demikian mengulas keceluparan Zaid yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri – menulis di laman Twitternya kononnya ‘tiada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar’, sebaik sahaja Sultan Sharafuddin menyuarakan kebimbangannya terhadap pihak tertentu yang cuba mengeksploitasi isu kaum dan agama yang disifatkan sebagai sensitif.

“Pihak Polis Diraja Malaysia perlu mengambil tindakan segera terhadap beliau di bawah Akta Hasutan. Institusi Diraja bukan sewenangnya boleh diperlekehkan.

“Kelantangan pemimpin pembangkang seperti Zaid Ibrahim akan menjadikan penyokong – penyokong DAP semakin besar kepala dan merasakan mereka sahajalah yang betul.

“Kedaulataan raja -raja akan terancam jika kita membiarkan keceluparan seperti ini berlaku. Ini seakan satu agenda untuk merendahkan imej dan maruah institusi raja Melayu,” katanya lagi.

Sultan Sharafuddin sebelum itu diwawancara akhbar The Star bertitah baginda bimbang dengan pihak tertentu yang menggunakan pelbagai isu berkenaan kaum dan agama dalam cubaan meraih sokongan pengundi dalam pilihan raya akan datang.

Baginda juga menegur Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad mempersendakan kaum Bugis dengan mengaitkannya dengan lanun, dalam ucapannya di himpunan pembangkang September lalu.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here