SELAT DAMAI: Mustahil PKR serta Pakatan Harapan (PH) tidak terkesan apabila bekas pemimpin berpengaruh mereka, Tan Sri Khalid Ibrahim muncul dan memberi sokongan kepada UMNO Selangor.

Koordinator DUN Pelabuhan Klang, Datuk Nasaruddin M Zin berkata kejutan yang dibuat mantan Menteri Besar Selangor pada Sabtu sudah cukup untuk memberitahu rakyat betapa PKR serta PH gagal mentadbir Selangor dengan baik.

“Kehadiran Tan Sri Khalid sudah tentu akan risaukan pimpinan PKR. Ini kerana beliau adalah bekas pemimpin yang bagus dan beliau juga seorang pemimpin yang profesional.

“Beliau boleh bongkarkan bahawa pentadbiran kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar sekarang penuh dengan kelemahan dan perkara-perkara rasuah,” katanya selepas merasmikan Program Berkhatan Perdana di Selat Damai di DUN Pelabuhan Klang, hari ini.

Terdahulu, Nasaruddin menjayakan program bersunat beramai-ramai melibatkan lebih 60 peserta termasuk anak-anak penghuni taman perumahan Suria dan flat Penama.

Semalam, Khalid muncul dalam Konvensyen Tertutup UMNO Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk menyatakan sokongan kepada parti itu bagi merampas kembali negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pun begitu, Khalid menegaskan beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik dan enggan mempertahankan kerusi DUN (Pelabuhan Klang) dan Parlimen (Bandar Tun Razak) yang diwakilinya kini.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Selangor, Zainuri Zainal berkata sokongan Khalid kepada UMNO Selangor memberikan tamparan hebat kepada PH berikutan gagasan itu kini mengalami krisis dalaman yang teruk.

Ujar Zainuri, dengan adanya Khalid sudah tentu UMNO Selangor boleh mendapatkan sumbangan idea ataupun nasihat daripada tokoh perniagaan hebat itu, untuk terus memajukan negeri itu kelak.

“Lupakan yang lama dan fokus kepada PRU. Kita alu-alukan sumbangan idea dan juga sumbangan daripada pemimpin yang satu ketika dahulu pernah berkhidmat dan menjadi tonggak utama dalam kerajaan negeri Selangor,” katanya.

PH kini berdepan kesulitan untuk mendaftarkan gagasan mereka sebagai satu parti politik selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) memaklumkan terdapat masalah pada dua parti komponennya, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

DAP bagaimanapun sudah menyelesaikan masalah dalamannya dengan mengadakan kembali pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Manakala PPBM kini berdepan dengan pembubaran parti oleh ROS selepas melanggar perlembagaan partinya sendiri.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here