SHAH ALAM – Tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyebarkan fitnah ketika ceramah ‘peduli rakyat’ di Johor jelas mengingkari titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menyeru supaya pemimpin Melayu bersatu.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, berkata jelajah peduli rakyat adalah satu tindakan terdesak dan cubaan mensabotaj usaha Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Secara tidak langsung tindakan Azmin telah menyebar kebencian dalam kalangan bangsa Johor sendiri selain mengingkari titah Tuanku Sultan Johor yang mahukan pemimpin Melayu duduk semeja, bermuafakat dan selalu berbincang tentang kepentingan orang Melayu.

“Rakyat diajak untuk menilai tindakan berkenaan kerana Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tidak pernah pula ke Selangor dan berceramah tentang perkara yang tidak baik mengenai Selangor kerana beliau tahu keutamaannya adalah menjaga Johor daripada sibuk dengan negeri lain.

“Justeru, tindakan Azmin tidak lebih daripada bimbang dengan penerimaan rakyat secara keseluruhan yang bakal menikmati manfaat daripada Bajet Johor 2018 yang baru dibentangkan selain Bajet Persekutuan yang disambut baik banyak pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Mat Nadzari berkata, adalah lebih baik Azmin balik ke Selangor dan menjaga negeri sendiri dengan pelbagai isu tempatan yang berterusan membelenggu penduduk Selangor daripada sibuk mempolitikkan semua perkara.

“Pedulikan penduduk Selangor terlebih dahulu,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here