SHAH ALAM – Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad diserang bertubi-tubi oleh ADUN Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz berhubung rumah Selangorku yang gagal dibina hingga kini.

Johan berkata tiga tahun berlalu, kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Azmin Ali gagal menyiapkannnya malah terus menabur janji untuk menambah jumlah bilangan rumah Selangorku dalam pembentangan Belanjawan 2018.

“Saya sudah pergi meninjau dan bertanyakan pemaju. Pemaju memberitahu kelulusan sudah diberi untuk (membina) rumah Selangorku. Tapi dah tiga tahun, rumah double-storey, rumah semi-D, rumah lot banglo (yang dibangunkan pemaju) sudah habis dijual.

“Tapi hingga hari ini, rumah Selangorku masih tak ada. Ini benar-benar berlaku. Rakyat kita masih menunggu (rumah Selangorku),” katanya ketika sesi membahaskan Ucapan Pembentangan Belanjawan DUN Selangor 2018, pada Isnin.

Johan malah berkata, kerajaan negeri seolah-olah ‘mencekik leher’ pemaju apabila menetapkan 50 peratus daripada rumah yang dibina, didedikasikan untuk rumah Selangorku.

Hal itu katanya menyebabkan pemaju bertindak menyiap dan menjual terlebih dahulu rumah double-storey pada harga RM500,000 ke atas, walaupun lokasinya di Semenyih, demi untuk mengelakkan mereka menanggung kerugian.

“Saya rasa pemaju dicekik oleh kerajaan negeri. Sebab saya tanya pemaju, mereka kata kerajaan negeri letak syarat mesti 50 peratus mesti rumah Selangorku jenis A, B, C dan D.

“Patutlah harga rumah di Semenyih berharga RM500,000 ke atas. Patutlah mereka buat rumah dua tingkat ini terlebih dahulu sebab mahu ‘cover’ balik aliran kewangan mereka,” katanya.

Johan berkata, jika kerajaan negeri terus menekan pemaju, harga rumah akan terus meningkat dan rakyat yang akan menjadi mangsa.

Johan kemudiannya bertanyakan bilakah rumah Selangorku akan disudahkan.

Datuk Johan: Tak ada exco atau kerajaan negeri tetapkan syarat, bila nak buat Selangorku ini?

Datuk Iskandar: Kita memang tegas dari segi bila nak bina…

Datuk Johan: Tapi dah tiga tahu, tak berbina-bina. Itu yang saya cakap (kerajaan negeri) terlena, tidur ke. Itu yang saya cakap tu.

Datuk Iskandar: YB, mungkin YB tersilap, sebab polisi pun YB tak tahu. Tunjukkan saya projek yang tak dibuat itu dimana?

Perbalahan antara Johan dan Iskandar kemudiannya dicelah ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Razak.

Datuk Sulaiman: Di kawasan saya pembinaan oleh pemaju di Pasir Penambang diberi kebenaran merancang, sudah lulus. Pembangunan rumah-rumah kos tinggi di kedua-dua belah kawasan tapak Selangorku sudah siap. Tapi rumah mampu milik, sampai sekarang tidak dibuat?

Datuk Iskandar: Berapa ekar? Kena tengok juga. Masa zaman Barisan Nasional macam tu juga.

Datuk Sulaiman: Tapi itu pembangunan baru (di bawah Pakatan Harapan).

Perbalahan mengenai rumah Selangorku tidak berkesudahan apabila Iskandar mula menyentuh isu lain.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here