BANGI – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memberikan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi membaik pulih lif dan tangki yang rosak di Apartmen Vista Seri Putra.

Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri KKPT, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, pihaknya dimaklumkan sebanyak dua lif rosak di kediaman itu yang perlu dganti segera.

“Saya dimaklumkan, pernah berlaku lif tersangkut kerana beberapa peralatan lif ini sudah berkarat. Dianggarkan peruntukan sebanyak lebih RM100,000 untuk projek baik pulih ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih berkata, peruntukan sebanyak RM200,000 pula untuk membaik pulih tangki air di kediaman tersebut.

“Saya dimaklumkan tangki juga bocor dan berkarat dan ia juga perlu dibaik pulih,” katanya.

Beliau turut memuji Perbadanan Pengurusan (MC) apartmen berkenaan dalam menjalankan tanggungjawab melaksanakan kerja penyelenggaraan.

“MC ini juga berjaya membawa satu kes pemilik yang liat membayar yuran penyelenggaraan dengan menyita barangan pemilik rumah tersebut.

“Ia satu tindakan yang bagus kerana ia dapat menimbulkan kesedaran pemilik lain, kini purata pungutan yuran penyelenggaraan naik sebanyak 80 peratus,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MC Mohamad Rozman Besiri berkata, masalah itu dipercayai berpunca daripada segelintir pemilik rumah yang liat membayar yuran penyelenggaraan beberapa tahun lalu.

“Ia mungkin sikap penduduk yang tidak ambil peduli atau kontraktor tidak melakukan kerja penyelenggaraan dengan teliti sebelum ini.

“Kini saya telah meningkatkan khidmat penyelenggaraan secara tidak langsung penduduk akan membayar yuran penyelenggaraan,” katanya.

Beliau berkata, seramai 1,500 penduduk menggunakan lif tersebut.

“Mereka berharap masalah ini dapat diatasi segera kerana tidak mahu kejadian lif tersangkut berulang,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here