SHAH ALAM – Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) kecewa usul mereka untuk menyatakan sokongan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah yang murka terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad ditolak speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Malah wakil rakyat BN juga menyokong jika titah tuanku Sultan Selangor melarang Mahathir masuk ke Selangor kerana keceluparan mulutnya yang mendakwa bangsa Bugis adalah penyamun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus, berkata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu
wajar menerima hukuman keras.

“Kita nak menyatakan sokongan kita dan perlu ada hukuman kepada orang ini yang nampaknya begitu celupar mengatakan suatu kaum itu.

“Untuk perpaduan negeri dan negara kita mesti jaga pertuturan kita jangan menyinggung mana-mana perasaan orang lain

“Kalau sekiranya berlaku (larang masuk Selangor), itu keputusan yang dibuat oleh tuanku, kita mohon menyokong,” katanya pada sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini.

Terdahulu ADUN-ADUN BN Selangor melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh yang menolak lima usul tergempar yang dikemukakan mereka dalam sidang DUN, semalam.

“Usul ini cukup penting kerana kita merasakan satu penghinaan itu dibuat Pengerusi PH yang menghina bangsa bugis.

“Kami terpanggil untuk membawa perkara kepada usul tergempar dewan pertamanya ini melibatkan orang ramai khususnya menyentuh perpaduan kaum dan bangsa itu,” tegasnya.

Abdul Shukur berkata, penolakan itu tidak senada dengan pendirian Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2018 yang menyentuh perpaduan antara kaum dan kesejahteraan negeri.

“Kita mengusulkan usul tergempar dan dibincangkan dalam dewan yang mulia ini untuk kita sama-sama membahaskannya.

“Ia tentang keceluparan atau kata-kata yang tidak begitu menyenangkan oleh pengerusi Pakatan Harapan disebutkan tentang suatu kaum itu.

“Apabila usul itu ditolak oleh Speaker yang menganggap ia perkara tidak penting, maka itu keterlaluan kerana isu ini melibatkan ketua negeri kita,” ulasnya.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here