KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah difailkan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos, hari ini berjaya diselesaikan melalui proses mediasi di Mahkamah Tinggi di sini.

Zuraida memfailkan saman itu terhadap Jamal yang juga Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia atas dakwaan mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya berhubung insiden pukul di sebuah pusat beli-belah di Ampang.

Hakim S. Nantha Balan merekodkan penghakiman persetujuan selepas Jamal membaca kenyataan secara terbuka di mahkamah bagi menyatakan penyesalannya dengan kata-kata yang dikeluarkan berhubung insiden berkenaan.

“Saya telah mengeluarkan kata-kata terhadap plaintif (Zuraida) dalam keadaan marah, maka saya kesal dengan kata-kata tersebut.

“Saya dengan ini, ingin menarik kembali kata-kata yang saya hamburkan ketika situasi tegang di Ampang Point Mall kepada Yb Zuraida,” katanya

Jamal turut membuat akujanji untuk tidak mengulangi kenyataan berkenaan insiden bertarikh 13 November tahun lalu terhadap plaintif.

Terdahulu, Hakim Nantha Balan turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat kerana berjaya menyelesaikannya melalui proses mediasi tanpa melalui perbicaraan penuh.

“Terima kasih atas sikap toleransi kedua-dua pihak untuk penyelesaian kes saman ini,” kata hakim itu.

Prosiding itu turut dihadiri peguam N. Surendran yang mewakili Zuraida manakala Jamal diwakili peguam Mohamed Nasser Yusof.

Pada 17 November tahun lepas, Zuraida memfailkan saman fitnah terhadap Jamal atas dakwaan mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya berhubung insiden pukul di sebuah pusat beli-belah di Ampang.

Beliau mendakwa perkataan fitnah itu telah diterbitkan secara meluas melalui media cetak dan elektronik serta portal berita online termasuk Berita Harian, Utusan Malaysia, Malaysiakini, Buletin Utama TV3 dan Astro Awani.

Zuraida juga mendakwa akibat penerbitan perkataan fitnah itu, reputasinya sebagai Ahli Parlimen telah terjejas kerana beliau merupakan seorang tokoh awam yang dikenali ramai.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here