BANTING – Ahli Lembaga Pelawat (ALP) Hospital Banting menyambut baik peruntukan sebanyak RM1.4 bilion diberikan kepada tiga hospital termasuk Hospital Banting dalam Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu.

Setiausaha Ahli Lembaga Pelawat (ALP) Hospital Banting, Mohd Jefrizal Jaafar berkata, beliau percaya penduduk Kuala Langat turut gembira mendengar berita berkenaan.

Menurutnya, bajet yang diumumkan diharap dapat memenuhi keperluan hospital berkenaan seperti tenaga pakar dan peralatan lengkap dan canggih.

“Kita juga perlukan penambahan wad bagi menampung jumlah pesakit yang saban tahun semakin tinggi ekoran penambahan jumlah kepadatan penduduk Kuala Langat dan Sepang.

“Kita ucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan BN yang peka kepada masalah warga Kuala Langat dan Sepang.

“Perkara ini telah diperjuangkan oleh kepimpinan BN seawal tahun 2012 apabila timbalan menteri kesihatan waktu itu, Dato Rosnah Rashid Shirlin bersetuju untuk peruntukkan RM46 juta kepada hospital ini dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

“Dan semenjak itu beberapa projek naik taraf telah dan sedang dilaksanakan sehingga kini,” katanya

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai Bajet 2018 yang diumumkan untuk tiga hospital di negara ini.

Mohd Jefrizal berkata, keprihatinan pemimpin Kuala Langat juga turut dihargai.

“Berikutan tindakan pantas mereka bawa isu dari Kementerian Kesihatan Malaysia ke pengetahuan timbalan menteri yang baharu iaitu Dato Seri Dr Hilmi Yahya.

“Apa pun, objektif utama kami sebagai pemimpin kecil kawasan dan selaku ahli lembaga pelawat hospital mahu impian bagi mendirikan bangunan lapan tingkat untuk tempatkan wad-wad pesakit direalisasi demi kesejahteraan dan keselesaan penduduk.

“Saya rasa, ini bukanlah permintaan yang melampau kerana mengambil kira usia hospital ini yang sudah menjangkau 40 tahun beroperasi tetapi masih dalam keadaan seperti tahun 90-an,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ALP Hospital Banting, Asuma Beevi Mohamed Sali berkata, sebagai ALP yang selalu menerima komen dan meneliti segala kekurangan perkhidmatan dan kemudahan Hospital Banting, pengumuman bajet berkenaan adalah satu berita yang amat menggembirakan.

“Apabila kepadatan penduduk bertambah dan semakin ramai yang berkunjung ke hospital ini untuk mendapatkan rawatan, Hospital Banting perlu berada di dalam keadaan yang paling optimum agar dapat berikan servis yang terbaik kepada semua pesakit.

“Besar harapan saya agar bajet penyelenggaraan ini dapat bantu mengatasi dan menambah baik segala kekurangan sedia ada di Hospital Banting.

“Ini secara tak langsung menaik taraf kualiti perkhidmatan hospital ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Sebelum ini, Sinar Harian bersama pelbagai pihak termasuk kepimpinan ALP Hospital Banting dan kepimpinan kakitangan hospital sebelum ini telah beberapa kali memperjuangkan permintaan pesakit hospital yang mahukan pelbagai kemudahan dinaik taraf sehinggalah pengumuman bajet untuk tiga buah hospital diumumkan baru baru ini.

Dalam pada itu, Pengarah Hospital Banting, Dr Sabrina Che Ab Rahman ketika dihubungi memberitahu bakal memberi maklum balas mengenai bajet yang diumumkan dalam masa terdekat. SINAR HARIAN

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here