HULU SELANGOR – Pihak polis mengesahkan bahawa daerah ini bebas dari aktiviti Judi Online (JOL) selepas melakukan serbuan ke atas 57 premis yang menjalankan kegiatan tersebut.

 

Serbuan yang dilakukan tahun ini membabitkan tangkapan 151 orang dengan merampas 2,396 set komputer dan wang tunai sebanyak RM7,459.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, anggaran nilai rampasan itu berjumlah RM1.25 juta dan seramai 138 orang dihadapkan ke mahkamah serta seorang dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Menurutnya, operasi bersepadu dilakukan bersama agensi lain termasuk Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) yang turut menyita premis berkenaan.

“Operasi turut melakukan pemotongan bekalan elektrik dan air dengan pemantauan yang dilakukan secara berterusan melalui risikan bagi memastikan aktiviti ini tidak tumbuh semula.

“Pihak polis memandang serius aktiviti perjudian ini dan memohon kerjasama orang ramai agar menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui mengenai kegiatan tersebut.

“Jika premis berkenaan kembali beroperasi, sila segera laporkan kepada pihak polis agar tindakan dapat diambil sekaligus mengekalkan daerah ini bebas dari judi atas talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai operasi memotong bekalan elektrik di sebuah premis judi di Batang Kali, semalam.

Bak Phai berkata, serbuan pada tahun lepas turut membabitkan 57 premis namun jumlah rampasa barangan dan wang tunai serta individu yang ditahan lebih rendah berbanding tahun ini.

Menurutnya, orang ramai terutama penduduk setempat disaran menjadi rakan polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah di kawasan mereka. SINAR

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here