TANJONG KARANG – “Saya tak sangka Tan Sri Noh Omar sudi bantu buatkan rumah kecil untuk saya berteduh bersama isteri,” demikian luahan penduduk kurang upaya (OKU), Muhammad Sahbudin, 29.

Menurutnya, hidupnya dahulu yang terpaksa berpindah randah bersama isterinya, Nur Asyikin Mohd Taib, 30, cukup memberikan tekanan kepadanya.

“Dulu saya tertekan sebab memikirkan tempat tinggal untuk diri dan isteri sampaikan saya terpaksa tidur di mana saja yang sesuai untuk kami buat sementara waktu.

“Memang saya tak mampu nak sewa apatah lagi nak bina rumah sendiri. Terpaksa tidur di merata tempat sebab upah jemur belacan cukup-cukup makan saja,” katanya sebak.

Katanya lagi, dia terharu apabila pimpinan Umno Bahagian Tanjong Karang sudi membantunya membina rumah secara bergotong-royong hanya dalam tempoh dua minggu.

“Kalau sebelum ni saya hidup merempat dan tidur di mana saja yang boleh dengan isteri termasuk tepi jeti, pondok kawalan kampung dan stor tapi sekarang syukur alhamdulillah.

“Tapi bila ada orang kampung bantu panjangkan permohonan, saya tak dapat nak gambarkan perasaan gembira ni sebab masih ada yang simpati dengan nasib kami.

“Saya amat berterima kasih kepada semua yang sudi membantu kami sekeluarga dengan rumah yang lengkap dengan bilik air dan hanya ALLAH saja yang dapat membalas budi.

“Lepas ni saya dah tak perlu nak susah hati setiap kali nak tidur malam sebab dah ada tempat sendiri walaupun kecil tapi syukur alhamdulillah,” katanya.

Wakil penduduk, Affandi Amir Hamzah, 35, berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib pasangan OKU itu yang terpaksa berpindah randah disebabkan tiada tempat untuk berteduh.

“Sebelum ini, saya bagi tumpang tidur di jeti tapi bila dah ada isteri, saya tengok keadaan mereka cukup susah. Bila saya panjangkan perkara ini kepada abang Jasman Annuar, alhamdulillah dapat perhatian Tan Sri.

“Mulanya saya panjangkan permohonan untuk membina rumah asas yang boleh mereka berteduh dan hasil kerjasama akhirnya dapatlah bina rumah secara bergotong-royong.

“Ketua pemuda, Maruwan Ahmad pun banyak bantu. Tan Sri Noh pun sudi luluskan sejumlah peruntukan untuk membina rumah asas untuk Muhammad di Lorong Hamzah, Bagan Pasir ni.

“Kami harap sumbangan ini dapat mudahkan lagi kehidupan Muhammad sekeluarga. Semoga kesusahan dihadapi sebelum ini dapat diringankan,” katanya.

Sementara itu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang bersimpati dengan nasib penduduk OKU yang wajar dibantu berikutan tidak memiliki rumah sendiri.

“Sumbangan ini adalah tanda keprihatinan saya terhadap penduduk Tanjong Karang dan rumah asas ni sebagai kemudahan untuk dia sekeluarga,” katanya. SINAR HARIAN

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here