TANJONG KARANG – Padang Astaka Tanjong Karang akan dinaik taraf dengan mewujudkan kawasan rekreasi tepi sungai di kawasan hiliran sungai untuk keselesaan penduduk dan menarik pelancong ke kawasan ini.

 

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, pembangunan tersebut menggunakan peruntukan Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Program Strategi Lautan Biro Nasional (NBOS).

“Kita mahu bangunkan padang astaka dan mencantikkan lagi kawasan tepi sungai bagi menaiktarafkan pekan Tanjong Karang.

“Bila bincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain, mereka tiada masalah sebab tidak mengganggu ekosistem alam sekitar.

“Namun, bila dimaklumkan permohonan ini diarahkan untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), saya jangka pasti kena tolak,” katanya.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu sudah menjangkakan permohonan terbabit ditolak kerajaan negeri dengan mudah.

“Ramalan saya tepat sekali bila dimaklumkan MTES menolak permohonan ini atas alasan dasar baru yang mana kerajaan negeri tidak membenarkan sebarang pembangunan kekal di kawasan terbuka.

“Saya hormati keputusan ini bagaimanapun sepatutnya kerajaan negeri patut turun padang dan lihat sendiri keperluan kemudahan rekreasi awam di Tanjong Karang. Pembangunan ini menggunakan peruntukan kementerian bukan duit kerajaan negeri,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan mencari jalan untuk melaksanakan projek ini memandangkan sebanyak RM6 juta diperuntukkan untuk pembangunan ini.

“Kementerian akan cari jalan untuk membolehkan projek ini dapat dijayakan demi kepentingan awam dan dimaklumkan banyak pembangunan untuk penduduk termasuk dewan komuniti dalam taman perumahan kena tolak.

“Sebagai contoh, banyak permohonan untuk membina dewan komuniti ditolak atas alasan sama sedangkan keperluan dewan ini cukup penting untuk kegunaan penduduk,” katanya.

 

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here