SABAK BERNAM – Kawasan hutan paya bakau di Bagan Sungai Besar akan dibangunkan agar bebas daripada sebarang aktiviti tidak sihat khususnya menjadi sarang penagihan dadah.

Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi berkata, beliau sendiri akan berusaha untuk mencari kaedah terbaik membangunkan kawasan ber­kenaan.

“Kita amat berharap kawasan ini dapat dibangunkan sekali gus bebas dari aktiviti tidak sihat se­perti menjadi sarang dadah.

“Namun, saya perlu bincang perkara ini dengan pihak-pihak terbabit kerana kawasan ini me­rupakan rizab hutan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, Budiman bersama dua pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam dan wakil Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sabak Bernam meninjau kawasan hutan bakau terbabit.

Tinjauan kira-kira 20 minit di kawasan itu mendapati beberapa penagih dadah memasuki kawasan hutan berkenaan sebelum kemudiannya melarikan diri.

Dalam pada itu, Budiman berkata, lebih 100 tangkapan melibatkan penagihan dadah di kawasan itu dicatatkan di sepanjang tahun.

“Kita ambil berat perkara ini dan kita yakin bahawa masyarakat sekitar amat prihatin agar aktiviti tidak sihat ini dapat dihapuskan dengan segera,” ujarnya lagi. UTUSAN

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here