KOTA KINABALU – Mahkamah Majistret di sini hari ini mengeluarkan perintah reman terhadap adik kepada Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan dana di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dianggarkan bernilai RM1.5 bilion.

Perintah itu selama lima hari itu dikeluarkan Majistret Stephanie Sherron Abbie selepas permohonan reman ke atas Hamid Apdal, 52, dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd. Faliq Basiruddin.

Hamid diwakili oleh peguam, Martin Tommy.

Semalam, Hamid ditahan di Pejabat SPRM pada pukul 9.30 malam tadi selepas dipanggil memberi keterangan berkaitan dakwaan itu.

Penahanan Hamid itu menjadikannya sebagai individu ketujuh ditangkap bagi membantu siasatan penyelewengan dana kebajikan KKLW di antara tahun 2009 hingga 2015 iaitu tempoh semasa abangnya menjawat jawatan menteri di kementerian berkenaan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here