SIJANGKANG – Nasib dua mangsa yang dirobohkan kediaman mereka di Subang minggu lalu mendapat perhatian Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang akan menyalurkan bantuan sewajarnya.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan,Tan Sri Noh Omar berkata, bantuan kepada dua mangsa berkenaan akan diumumkan pada Selasa.

Beliau berkata, dua bekas pegawai Masjid Lapangan Terbang Subang yang masih lagi menetap di masjid buat masa ini selepas kediaman mereka dirobohkan membuktikan kerajaan Selangor gagal menguruskan masalah rakyat.

“Saya difahamkan tidak ada apa pembelaan daripada kerajaan negeri. Mereka ni cakap sahaja lebih tapi tindakan tiada.

“Kita akan umumkan bentuk bantuan esok (Selasa) buat mereka,” kata Noh,

Noh sebelum itu mengadakan lawatan kerja meninjau perumahan kos rendah di Rumah Pangsa Impian di Saujana Putra, Isnin.

Dalam lawatan kerja berkenaan, Noh mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk menyediakan gelanggang futsal pelbagai guna untuk kemudahan penduduk di situ.

“Gelanggang ini akan dilengkapi bumbung, lampu dan kipas. Selain boleh bermain futsal, penduduk setempat boleh menggunakannya untuk tujuan kenduri kendara dan majlis sepertinya.

“Saya juga mengumumkan bantuan sebanyak RM150,000 untuk dua surau di perumahan pangsa ini untuk tujuan membaiki bumbung dan memasang jubin lantai,” katanya.

Flat Impian yang mempunyai 18 blok dan mempunyai 1440 unit rumah itu terletak di dalam Parlimen Kuala Langat.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here